Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Suspek bawa cecair lebih satu liter


Penampang: Lelaki yang menyimbah asid terhadap gadis berusia 19 tahun hingga mangsa maut di sini, awal pagi kelmarin, dipercayai membawa bahan kimia itu dalam kuantiti banyak yang disimpan dalam bekas makanan.

Menurut pekerja restoran yang mahu dikenali sebagai Siddiq, 35, berkata, sebaik menyimbah asid terhadap mangsa yang ketika itu bersama dua rakan, lelaki berkenaan melarikan diri ke arah jalan besar.

“Jumlah cecair itu dianggarkan lebih satu liter berdasarkan bekas plastik ditinggalkannya selain tahap kecederaan mangsa dan rakannya.

“Kejadian berlaku sangat pantas dan saya menyedari kejadian ini apabila mangsa menjerit selepas disimbah sejenis cecair,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siddiq berkata, pada mulanya mangsa menyangka disimbah air dan hanya mengelap muka dan mengesat bajunya yang basah.

“Tiba-tiba mangsa menjerit menyatakan matanya pedih sebelum mengerang kesakitan manakala rakannya turut mengalami kepanasan akibat terkena asid.

“Mangsa rebah dan menggelupur sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Katanya, mangsa dan rakannya tidak pernah dilihat mengunjungi restoran berkenaan sebelum ini.

“Simbahan asid itu menyebabkan restoran kami ditutup hari ini (semalam) bagi dibersihkan kerana ada bau tengik yang menusuk hidung menyebabkan menyebabkan pelanggan enggan memasuki restoran,” katanya.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, pekerja kafe siber, Memey Kandusan, 19, disahkan maut selepas bertarung nyawa lebih enam jam di hospital akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Mangsa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth (HQE) dilaporkan meninggal jam 11.20 pagi akibat parah di dada, bahu, mata dan muka.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama dua rakan, lelaki dan perempuan mahu memesan makanan di restoran terbabit apabila seorang lelaki bertopi datang menyimbah cecair dipercayai asid ke arah mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh berkata, pihaknya masih melakukan siasatan dan menjejaki suspek.

“Polis menahan seorang wanita berusia 25 tahun bagi membantu siasatan.



Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment