Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Sindiket Black Money tumpas


Mohd. Shukri Dahlan (tiga kanan) bersama pegawainya menunjukan wang palsu yang dirampas daripada sendikit black money sewaktu sidang akhbar di IPK Selangor di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 24 April - Polis berjaya menumpaskan sindiket Black Money terbesar di Selangor yang melibatkan penghasilan mata wang asing palsu bernilai RM30 juta dengan tertangkapnya seorang warga Iran selepas menyerbu sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Sentul, Kuala Lumpur semalam.
Selain penahanan lelaki itu yang berusia 54 tahun dan dipercayai dalang utama sindiket tersebut, turut dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 3 petang itu ialah wang palsu dolar Amerika Syarikat, pound sterling dan dolar Singapura yang bernilai RM30 juta.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, serbuan ke atas kediaman itu dibuat ekoran aduan seorang wanita tempatan berumur 51 tahun yang merupakan kakitangan bank pada bulan lalu yang kerugian RM400,00 selepas ditipu oleh sindiket Black Money.
"Bertindak daripada maklumat itu, polis telah menyerbu kondominium tersebut semalam dan menahan suspek serta menemui wang-wang palsu berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk memproses wang palsu seperti mesin memproses wang, peti keselamatan dan telefon bimbit," katanya pada sidang akhbar di di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, kondominium tersebut telah dijadikan sebagai tempat memproses wang palsu dan digunakan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran wang palsu.
"Sindiket ini mencari mangsa melalui laman sosial dan cuba memperdayakan mangsa terutamanya wanita, supaya membantu mereka dalam perniagaan dengan dijanjikan pulangan yang berlipat ganda.
"Ini adalah sindiket besar yang mempunyai ramai ejen dan kami percaya dengan penahanan ini, ia dapat membongkar kes-kes lain melibatkan penipuan Black Money," ujarnya.
Mohd. Shukri berkata, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140425/je_01/Sindiket-Black-Money-tumpas#ixzz2zwO1Wxre
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment