Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Seorang maut, 6 cedera nahas 3 kenderaan



Ipoh: Seorang lelaki maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 25 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands, dekat sini, kelmarin.



Dalam kejadian jam 6.55 petang, Mohd Zaid Abd Rahman, 58, dari Rumah Murah Kos Rendah, Ajil, Terengganu, yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan.



Sumber berkata, Mohd Zaid bersama isteri dan dua anak perempuannya dari Ajil, Terengganu ke Lumut, sebelum Toyota Avanza dipandu anak perempuannya berusia 20 tahun dipercayai hilang kawalan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan lalu dirempuh Toyota Unser dinaiki empat beranak.



Katanya, Sebuah PERODUA Alza dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands turut dirempuh Toyota Avanza itu.



“Pemandu Toyota Avanza tidak cedera, manakala isteri dan seorang anak Mohd Zaid, masing-masing berusia 56 dan 19 tahun, cedera.



“Selain itu, empat beranak menaiki Toyota Unser, masing-masing berusia 49, 42, 22, dan 15 tahun turut cedera selepas kenderaan itu masuk ke dalam parit, manakala pemandu PERODUA Alza tidak cedera.



“Enam mangsa yang cedera dirawat di HRPB dan keadaan mereka stabil,” katanya.



Sementara itu Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.



Katanya, kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.







Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

No comments:

Post a Comment