Search This Blog

Monday, April 7, 2014

‘Saya nak bayar hutang’

Pelabuhan Klang: Rayuan seorang ibu tunggal yang juga pemilik sebuah kedai runcit supaya dilepaskan daripada dikenakan tindakan tidak berjaya apabila dia ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam dan Eksais Selangor kerana didapati menjual rokok seludup dalam satu pemeriksaan di Persiaran Sireh Junjung, di sini.
Kedai runcit milik ibu tunggal itu antara tiga kedai yang diperiksa dalam operasi Ops Premis yang dijalankan Kastam Selangor sekitar Kampung Seri Perantau dekat, di sini, Jumaat lalu.

Dia yang berusia 45 tahun itu berkata, dia mengaku mengetahui bahawa menjual rokok seludup adalah kesalahan di sisi undang-undang, tetapi demi menyara anak tunggalnya dan membayar hutang suaminya, membuatkan dia nekad berbuat demikian.
“Selepas suami keluar dari rumah dan tinggalkan kami bersama hutang, saya mengambil alih tugas menguruskan kedai runcit ini dan langsaikan hutang sedikit demi sedikit.

“Saya tahu menjual rokok ini salah, tapi memandangkan ia mendapatkan permintaan dalam kalangan pelanggan selain mencari duit lebih untuk melangsaikan hutang, saya terpaksa berbuat demikian (menjualnya),” katanya.

Menurut sumber, Ops Premis yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu bertujuan untuk membanteras jualan rokok seludup di seluruh negara memandangkan ia mendapat permintaan tinggi.
Foto
ANGGOTA penguat kuasa kastam memeriksa premis yang menjual rokok seludup.
Sumber itu berkata, pihak Kastam tidak berkompromi dengan individu yang didapati menjual rokok seludup kerana perkara ini menyalahi undang-undang.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga kedai, dua daripadanya didapati menjual rokok seludup dan kami menahan dua individu berusia antara 30 hingga 45 tahun untuk siasatan.
“Jumlah rampasan rokok di kedua-dua kedai runcit berkenaan bernilai RM300 dan ia merangkumi RM2,000 nilai cukai,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment