Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Saman RM3j tak puas hati kena sebat


Georgetown: Seorang pekerja binaan warga Bangladesh memfailkan saman RM3 juta terhadap Kerajaan Malaysia selepas mendakwa cedera akibat disebat ketika berada di penjara sementara menunggu kesnya disemak semula.

Alamin Sheikh Badsha Sheikh, 28, dikenakan hukuman tiga sebatan sebelum Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, mengetepikan hukuman oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kerana didakwa masuk secara haram ke negara ini tanpa dokumen sah, tahun lalu.


Beliau yang masih ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Langkap, Perak, kini dalam proses untuk dihantar pulang ke Bangladesh.



Peguamnya, S Raveen Tharan berkata, pihaknya mempersoalkan tindakan pihak berkuasa melaksanakan hukuman sebatan secara terburu-buru ke atas anak guamnya sedangkan semakan kes itu belum selesai.


Beliau berkata, Alamin Sheikh mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia tanpa memahami sepenuhnya kesalahan itu.


“Pelaksanaan sebatan itu dilaksanakan secara terburu-buru dengan sebabnya hanya diketahui oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya.

Raveen Tharan berkata, Alamin Sheikh dihukum penjara tiga bulan dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 18 Julai tahun lalu dengan hukuman sebat dilaksanakan pada 9 Oktober tahun lalu di Pokok Sena, Kedah, sebelum Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengetepikan hukuman berkenaan pada 25 Oktober tahun lalu.


Sehubungan itu, beliau memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi pada 20 Mac lalu dan diberikan injunksi interim untuk menghalang Jabatan Imigresen daripada mengusir Alamin Sheikh ke Bangladesh.

Katanya, dia memerlukan Alamin Sheikh kekal di Malaysia untuk penilaian psikiatri bagi menentukan sejauh mana penderitaan mental dialami anak guamnya.


Beliau memohon RM3 juta dalam ganti rugi am dan ganti rugi khas dengan menamakan Kerajaan Persekutuan, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang sebagai responden dalam saman sivil itu.


Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 18 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment