Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Rogol: Duda baru keluar jel diarah bela diri


PETALING JAYA 22 April - Seorang duda yang pernah meringkuk dalam penjara selama 10 tahun dan dikenakan sebatan enam kali atas dua pertuduhan merogol anak teman wanitanya yang berusia 15 tahun, tidak pernah serik apabila dia didakwa mengulangi kesalahan yang sama sejurus keluar dari penjara, tahun lalu.
Kali ini, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang merupakan anak kepada teman wanita baharunya.
Hari ini, Mahkamah Sesyen di sini memerintahkan lelaki itu, Hamdan Ahadluddin, 53, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz memutuskan demikian setelah mendapati keterangan saksi boleh dipercayai selain disokong keterangan perubatan dan ayah mangsa.
Hamdan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Lembah Subang, di sini pada Mei tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang mendakwa dirinya bekas setiausaha cawangan sebuah parti politik diwakili peguam P.G. Cyril dan Farhan Read.
Sebanyak sembilan saksi dipanggil sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan, tertuduh dihukum penjara atas dua pertuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, 10 hari sebelum bernikah dengan ibu remaja berkenaan, pada 2004.
Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan bagi tuduhan pertama manakala tuduhan kedua pula penjara enam tahun.
Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 Februari 2005.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_06/Rogol-Duda-baru-keluar-jel-diarah-bela-diri#ixzz2zj0QWMob
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment