Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Remaja bunuh ibu, direman tujuh hari


MIRI 6 April - Seorang remaja lelaki yang disyaki membunuh ibunya di pekarangan Kompleks Tenis, Jalan Sukan di sini semalam kerana wanita itu enggan membelikannya sebuah telefon pintar, ditahan reman selama tujuh hari.
Perintah tahanan reman bermula hari ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek berusia 18 tahun itu ditahan kira-kira sejam selepas mayat ibunya, Marife R. Wong, 42, warga Filipina ditemui beberapa pelajar dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta jenis Hyundai Atos pada pukul 2.30 petang.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, rakaman percakapan suspek telah dibuat dan dia mengaku berlaku perbalahan antara mereka dua beranak.
Katanya, suspek merupakan anak sulung daripada tiga beradik memaklumkan bahawa dia sudah tidak tahan dengan tindakan mangsa yang sering memarahinya setiap hari.
"Kita tidak menolak pertengkaran dua beranak itu berlaku ekoran permintaan suspek mahu mendapatkan seunit telefon pintar tidak dipenuhi.
"Pemeriksaan awal mendapati suspek yang duduk di kerusi belakang kereta yang dipandu ibunya mengambil kesempatan menikam leher mangsa dari belakang sebelum melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, remaja berkenaan ditahan setelah disyaki membunuh ibunya dengan menikam dan mengelar leher wanita itu.
Tambahnya, polis turut merampas pakaian serta peralatan tenis yang dipercayai digunakan suspek untuk membantu siasatan.
"Ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga negatif dadah," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140407/ma_01/Remaja-bunuh-ibu-direman-tujuh-hari#ixzz2yCSS0wXh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment