Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Pesakit kanser mengaku samun


Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Seorang pesakit kanser darah tahap satu dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah terbabit dalam kes samun bersenjata di sebuah kedai cermin mata, di sini, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Kok Keong, 36, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pihak pendakwaan.


Mengikut pertuduhan, Lee didakwa melakukan samun bersama seorang rakannya di kedai Shine Look Optical di Taman Rasah Jaya, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada 11 Ogos empat tahun lalu.



Berikutan itu, bapa anak dua terbabit didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu dan adiknya berada di kedai cermin mata berkenaan, mereka didatangi dua lelaki yang kononnya mahu mengambil cermin mata dan kanta lekap yang ditempah untuk rakan perempuan mereka dua hari sebelum itu.


Bagaimanapun, selepas memastikan tiada pelanggan, kedua-dua suspek mengeluarkan dua bilah parang dari belakang badan dan seorang masuk ke dalam bilik pemeriksaan mata lalu mengarahkan pengadu dan adiknya masuk ke dalam bilik berkenaan.

Suspek bertindak menetak bahu adik pengadu itu sebelum mengambil wang berjumlah RM5,000, 10 cermin mata dan sistem kedudukan global (GPS) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM15,000 lalu melarikan diri menaiki motosikal.


Lee dalam rayuan bertulisnya dan dibaca jurubahasa mahkamah memohon hukuman ringan dan dijalankan serentak dengan hukuman sedang dijalaninya kerana sudah insaf dan menyesal serta berharap diberi peluang menjadi anak, bapa dan masyarakat yang berguna.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon hukuman setimpal dengan apa dilakukan tertuduh sehingga mengakibatkan kerugian besar serta trauma kepada mangsa.


Mahkamah kemudian menetapkan hukuman berkuatkuasa selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan atas kesalahan sama disabitkan ke atasnya oleh Mahkamah Sesyen di Raub, Pahang pada 28 Mei tahun lalu.


Ini menyebabkan, tertuduh terpaksa menjalani hukuman keseluruhan selama 22 tahun penjara serta 10 sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

No comments:

Post a Comment