Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Penyelam berjaya masuk feri

Penyelam berjaya masuk feri
Anggota pencari dan penyelamat menaikkan mayat ke dalam bot, semalam. - Foto AFP 
19 mayat ditemui, jadikan 58 orang disahkan terkorban, 244 masih hilang

MOKPO: Angka kematian akibat bencana feri Korea Selatan disahkan meningkat kepada 58 semalam apabila penyelam akhirnya menemui laluan ke dalam kapal yang tenggelam, mempercepatkan penemuan 19 lagi mayat dalam apa disifatkan sebagai permulaan kepada usaha mencari besar-besaran yang suram.

Sebanyak 244 orang masih hilang, kebanyakannya pelajar sekolah tinggi yang dalam perjalanan untuk bercuti, pada ketika keluarga yang bersedih, marah dengan usaha menyelamat setakat ini. Sebelum ini, penyelam gagal memasuki feri, kata pegawai, kerana arus yang sangat kuat dan jarak tahap penglihatan yang tidak baik kerana cuaca buruk.

Bermula pada lewat Sabtu lalu, apabila penyelam memecahkan tingkap, dan diteruskan sehingga Ahad, beberapa pasukan penyelam menemui pelbagai laluan ke dalam feri, membawa kepada penemuan mayat di beberapa bahagian berbeza, kata pegawai pengawal pantai Koh Myung- Seok dalam satu taklimat.

Sejumlah 13 mayat dijumpai dalam feri itu, manakala enam lagi ditemui terapung di luar semalam menjadikan jumlah kematian rasmi mencecah 58 orang.

Menurut jurucakap pengawal pantai Kim Jae-in, penyelam masih belum menemui mangsa yang terselamat dalam kapal itu.

Seorang kelasi Korea Selatan berusia 21 tahun, Cho, juga meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami Rabu lalu ketika bertugas di sebuah kapal perang untuk membantu menyelamat penumpang feri, kata Komander Yim Myung- soo dari Tentera Laut Korea Selatan.

Sementara itu, di pulau berhampiran lokasi feri tenggelam, kira-kira 200 polis lengkap dengan dengan jaket neon disekat hampir 100 orang anggota keluarga penumpang yang hilang, yang dikatakan sedang berarak di jalanan dalam usaha untuk ke Rumah Biru Presiden di Seoul bagi menyuarakan aduan mereka kepada presiden.
“Kerajaan adalah pembunuh,” laung mereka sambil menolak benteng sekatan polis.

“Kami mahu jawapan dari orang yang bertanggungjawab, mengapa arahan tidak telus, tiada tindakan yang diambil,” kata Lee Woon- geun, bapa Lee Jung -in, 17, seorang daripada penumpang feri. “Mereka jelas berbohong dan menuding jari kepada orang lain.”

Anggota keluarga terdesak untuk mendapatkan semula mayat mangsa sebelum ia reput dan tidak dapat dikenal pasti, kata Lee.

“Selepas empat atau lima hari badan mula reput. Apabila ia reput, jika anda cuba untuk memegang tangan itu ia mungkin jatuh,” katanya. “Saya rindukan anak saya. Saya benar-benar takut tidak dapat menemui mayatnya.”

Kapten feri, Lee Joon- Seok, 68, ditangkap bersama-sama dengan salah seorang daripada tiga jurumudi Sewol dan anak kapal berusia 25 tahun, kata pendakwa.
Lee, berkata kepada pemberita pagi Sabtu lalu ketika meninggalkan Cawangan Mahkamah Daerah Mokpo Gwangju untuk dipenjarakan, bahawa dia mempertahankan keputusannya untuk menunggu hampir 30 minit, sebelum mengarahkan penumpang dipindahkan.

“Pada ketika itu, arus sangat kuat, suhu air laut itu sejuk, dan saya fikir jika penumpang meninggalkan feri tanpa mengambil kira keputusan yang betul, jika mereka tidak memakai jaket keselamatan, dan walaupun memakainya, mereka akan hanyut dan berdepan banyak halangan lain,” kata Lee. “Bot penyelamat belum tiba, begitu juga sebarang kapal nelayan awam atau bot lain yang berdekatan pada ketika itu.”

Sewol meninggalkan pelabuhan barat laut Incheon Selasa lalu dengan 476 penumpang menuju ke pulau percutian Jeju di selatan, termasuk 323 pelajar dari Sekolah Tinggi Danwon di Ansan. Ia karam beberapa jam selepas anak-anak kapal membuat panggilan kecemasan kira-kira jam 9 pagi Rabu lalu. Kebanyakan penumpang yang hilang dipercayai terperangkap di dalam kapal seberat 6,852 tan itu. Dengan peluang hidup yang semakin tipis, ia boleh dianggap antara bencana paling buruk di Korea Selatan. - AP

No comments:

Post a Comment