Search This Blog

Thursday, April 24, 2014

Penipu mengaku salah


Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Seorang lelaki yang licik menipu mangsanya dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret L Umma Devi menjatuhkan hukuman itu terhadap K Prabaharan, 45, selepas dia menukar pengakuannya kepada bersalah kerana menipu dua tahun lalu.


Tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan memperdaya A Vanija, 31, pada 8 Oktober 2012 dengan menawarkan tender kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Green Lane di sini dan meminta mangsa menyerahkan RM2,000 untuk tujuan itu.



Mengikut fakta kes, Prabaharan mendakwa mengenali guru besar sekolah berkenaan dan berjanji akan kembali berjumpa dengan pengadu pada jam 5 petang hari sama untuk memulangkan wang terbabit sekiranya tender gagal diperoleh.


Namun, selepas memperoleh wang itu, tertuduh menghilangkan diri dan nombor telefon bimbit yang diberi juga gagal dihubungi sebelum pengadu cuba menghantar pesanan ringkas.


Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan polis pada 10 Oktober 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh didenda, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Ravi Chandran.

Sementara itu, di mahkamah majistret berlainan, tertuduh yang menghadapi dua lagi pertuduhan menipu mengaku bersalah terhadap pertuduhan kedua iaitu memperdaya B Vikneswary, 29, untuk menyerahkan wang RM16,000 sebagai bayaran balik hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Bank Rakyat, Jalan Magazine di sini, pada 3 petang, 6 Disember 2012.


Bagaimanapun, Ravi Chandran meminta mahkamah menangguhkan keputusan pertuduhan berkenaan bagi memberi masa kepada pihak pembelaan membuat persiapan rayuan.


Majistret Sri Pracha Nanthini Balabedha kemudian menetapkan tarikh 25 April sebagai tarikh keputusan kes terbabit.


Bagi pertuduhan ketiga, tiada sebarang pengakuan dibuat Prabaharan yang dituduh memperdaya warga emas T Suppamal, 68, untuk menyerahkan enam utas rantai leher, enam pasang subang, dua pasang gelang, lima bentuk cincin dan seutas rantai tangan bernilai RM60,000 untuk tujuan dicuci.


Dia melakukan kesalahan itu di rumah nombor T-3-32, Taman Hamna Lorong Helang 1, Sungai Dua, Gelugor di sini pada 10 pagi, 7 Nov 2012.


Majistret Diannee Ningrad Nor Azahar menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula pertuduhan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/23

No comments:

Post a Comment