Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Peniaga parah ditetak sekumpulan lelaki


SEORANG peniaga terbaring atas jalan setelah ditetak sekumpulan lelaki dengan parang panjang di Jalan Bakar Sampah, Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI PETANI 4 April - Seorang peniaga cedera parah di bahagian badan dan kaki selepas diserang sekumpulan lelaki, dipercayai dengan menggunakan parang panjang di hadapan sebuah kedai kopi di Jalan Bakar Sampah, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku ketika mangsa dikatakan sedang makan bersama empat lagi rakannya di kedai kopi terbabit.
Katanya, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki menaiki enam buah motosikal sebelum salah seorang daripada mereka turun dan meluru ke arah mangsa.
"Mangsa lalu bertengkar dengan lelaki itu sebelum dia ditetak. Suspek kemudian bergegas melarikan diri.
"Namun semasa hendak melarikan diri, salah seorang daripada mereka dilanggar sebuah kereta secara tidak sengaja.
"Dia bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan bantuan rakannya tetapi meninggalkan motosikal dan parang panjang di lokasi," katanya.
Khalil berkata, setakat ini, keadaan mangsa stabil tetapi masih tidak sedarkan diri.
Katanya, difahamkan, mangsa juga gagal mengingati nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki suspek.
Tambah beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-duanya sekali.
“Polis kini sedang memburu kesemua suspek dan tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan kumpulan samseng," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140405/je_01/Peniaga-parah-ditetak-sekumpulan-lelaki#ixzz2xxhRneC7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment