Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Peniaga mengaku salah dijel 6 hari


Kuala Terengganu: Seorang peniaga lelaki dipenjara enam hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini semalam kerana memiliki 70 peket rokok tidak sah.

Mohd Sobree Mohd Shafie, 50, didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Mengikut fakta kes, dalam serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada jam 11.30 pagi, 1 April lalu, pihak berkuasa menemui 70 peket rokok tidak sah pelbagai jenama yang ditaksirkan bernilai RM320 di rumah kedai di Taman Desa Jaya, Gong Pak Damat, di sini.


JKDM turut menahan Mohd Sobree di premis itu ketika serbuan dilakukan.

Rokok dirampas dipercayai untuk diedarkan secara kecil-kecilan di bandar raya ini.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKDM Mohd Zaizul Azlee Mohamed Zain di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala Mohd Sobree tidak diwakili peguam.


Sejurus pengakuan salah direkodkan, Abdul Hayyi menjatuhkan hukuman penjara enam hari bermula dari tarikh Mohd Sobree ditangkap pada 1 April lalu.

Sementara itu, di Johor, seorang peniaga dijatuhkan hukuman penjara tujuh bulan di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Khamis lalu selepas mengaku bersalah memiliki rokok seludup, 30 Mac lalu. Hukuman dijatuhkan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim terhadap tertuduh, Norhisham Myooun, 45, yang memakai kemeja T berwarna biru ketika hadir di mahkamah.


Mengikut pertuduhan, Norhisham didakwa melakukan kesalahan memiliki rokok putih dan keretek seludup bernilai RM9,470.40 disimpan di rumahnya di Taman Bistari, Tongkang Pechah pada jam 1 petang, 30 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment