Search This Blog

Tuesday, April 29, 2014

Pembantu kafe dilenyek lori

Oleh Arifin Salleh
Alor Gajah: Hasrat seorang pembantu kafeteria di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Masjid Tanah mengambil rakan sekerjanya tidak kesampaian apabila terbunuh selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori tanah di Jalan Masjid Tanah-Lubok Cina dekat Masjid Tanah, di sini.
Sebelum kejadian jam 6.30 petang Sabtu lalu, mangsa Mohamad Faizal Mohamed, 21, yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan pulang dari menghantar rakannya di pekan Masjid Tanah dan dalam perjalanan menuju Lubuk Cina untuk mengambil seorang lagi rakan di IKBN berkenaan.
Menurut sumber, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori lima tan membawa tanah dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah Lubuk Cina menuju Masjid Tanah dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tajam sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Lori berkenaan merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa diseret beberapa meter serta dilenyek sebelum tercampak ke tepi jalan manakala kenderaan berat itu terus melanggar tiang elektrik di tepi jalan.
“Mangsa yang parah di badan dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori yang tidak cedera menghilangkan diri sejurus kemalangan,” katanya, di sini.
Beliau berkata, rakan mangsa yang menunggu kira-kira 30 minit di IKBN itu hanya mengetahui kemalangan apabila melihat orang ramai berkumpul berhampiran mayat seorang mangsa kemalangan yang ditutup dengan kain putih.
“Rakan mangsa terkejut sebaik kain diselak anggota penyelamat didapati ia mayat mangsa sebelum terus menghubungi keluarga mangsa,” katanya.
Sementara itu, bapa angkat mangsa, Masdi Abdul Rahman, 49, berkata, Mohamad Faizal tinggal bersamanya sejak 10 bulan lalu dan bekerja sebagai pembantu kafeteria di IKBN yang diusahakannya.
“Arwah berasal dari Muar, Johor datang sebatang kara dan tinggal bersama saya kerana tidak mempunyai tempat tinggal sejak ibu dan bapanya bercerai beberapa tahun lalu.
“Sepanjang bekerja, arwah tidak pernah membawa sebarang masalah, malah rajin menjalankan tugas diamanahkan, cuma kebelakangan ini dia kelihatan murung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu.
Foto
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di tempat kemalangan, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/29

No comments:

Post a Comment