Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Pemandu treler maut akibat rempuh lori makanan ayam


ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa treler setelah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut lori membawa muatan kabel dengan sebuah lori lain di persimpangan lampu isyarat LPT Tepoh, Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU 6 April - Seorang pemandu treler maut selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebuah lori membawa muatan makanan ayam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Tepoh, di sini hari ini.
Mangsa, Mohamad Rosli Othman, 44, tersepit akibat dihempap gulungan kabel yang menggelongsor dan turut meremukkan kepala treler itu berikutan pelanggaran tersebut.
Kejadian mengerikan itu berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika mangsa yang dipercayai berasal dari Su­ngai Petani Kedah memandu treler membawa kabel elektrik dari arah LPT menuju ke pusat bandar raya.
Sebaik sahaja tiba di persimpangan, treler itu dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori yang membawa makanan ayam dari arah Kota Bharu ke Kuala Terengganu menyebabkan kesesakan teruk dan kenderaan terpaksa dilencongkan.
Mohamad Rosli meninggal dunia di tempat kejadian manakala kelindan yang berusia dalam lingkungan 30-an cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zhariah (HSNZ) sementara pemandu lori makanan ayam tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Ketua Balai Bomba Penyelamat Jalan Kota, Azmi Salleh pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 1.03 petang dan usaha mengeluarkan mangsa agak sukar.
Katanya, jengkaut terpaksa digunakan untuk mengalihkan kabel sebelum menggunakan jentera pemotong.
Sementara itu, Ketua Polis Da­erah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Berdasarkan kad pengenalannya, mangsa dipercayai berasal dari Sungai Petani Kedah dan mayatnya dibedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140407/je_05/Pemandu-treler-maut-akibat-rempuh-lori-makanan-ayam#ixzz2yCVDzDDT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment