Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Pemandu mati rempuh tiang telefon


Ipoh: Seorang warga emas yang bersantai di laman rumahnya terkejut apabila sebuah bas persiaran secara tiba-tiba merempuh tiang telefon dan pokok di hadapan kediamannya dalam kemalangan maut di Taman Rapat Setia Baru, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, pemandu dan pemilik bas persiaran Lim Chee Kheong, 55, yang yang dalam perjalanan ke taman perumahan berkenaan untuk menghantar penumpang, maut dalam kemalangan terbabit akibat terbabas.


Menurut saksi kejadian, Rizal Munir, 43, bapanya yang berusia 70-an duduk di laman rumah sebelum dikejutkan dengan rempuhan kuat bas persiaran terbabit.



“Terkejut dengan dentuman itu, bapa terus masuk ke rumah memaklumkan perkara itu dan saya keluar untuk mengenal pasti apa yang berlaku.


“Pada awalnya saya lihat tiada pemandu, namun apabila menghampiri kenderaan itu saya mendapati seorang lelaki rebah berhampiran tangga bas. Saya segera menghubungi ambulans, bagaimanapun petugas perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya, semalam.


Rizal berkata, sepanjang lebih 20 tahun dia dan keluarganya menetap di kawasan itu, beberapa kemalangan sering berlaku memandangkan rumahnya terletak berhampiran simpang dan jalan lurus menyebabkan pemandu terleka ketika melalui jalan berkenaan.

“Sebelum ini, kereta abang saya yang diparkir di hadapan rumah pernah dilanggar malah dua tahun lalu, tiang telefon di rumah jirannya turut tumbang akibat dilanggar lori,” katanya.


Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan menurutnya siasatan awal mendapati, mangsa Chee Kheong yang menetap di Desa Permata, Chemor, di sini, memandu bas persiaran miliknya dari Kuala Lumpur ke Taman Rapat untuk menghantar penumpang.

“Sebaik selesai menghantar penumpang dan semua turun, mangsa meneruskan perjalanan untuk pulang ke Chemor dengan melalui Jalan Persiaran Wira Jaya, Taman Rapat Setia Baru dan berdasarkan keterangan seorang saksi, setibanya di lokasi kejadian bas dipandu mangsa terus meluncur serta merempuh pokok dan tiang telefon berhampiran sebuah rumah penduduk.


“Keterangan dari anak lelaki mangsa, mendakwa bapanya menghidapi penyakit darah tinggi dan mempunyai rekod rawatan kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment