Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Panik asap berkepul


Oleh Nur Ain Musdad
Melaka: Lapan penyewa di dua rumah papan satu tingkat di Lorong Laksamana Cheng Ho 2, Bukit Cina, di sini, hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal pagi, semalam.

Kejadian jam 4.50 pagi turut memusnahkan motosikal dan beca, selain dua basikal milik penyewa.


Mangsa dikenali sebagai Tee, 50-an berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas ternampak kepulan asap di biliknya selepas terjaga dari tidur.



“Pada mulanya saya tersedar selepas terdengar bunyi bising daripada bilik sebelah dan mengabaikannya, namun selepas beberapa kali terdengar bunyi itu, saya membuka mata menjengah keluar sebelum ternampak kepulan asap dan api.


“Panik dengan kejadian itu, saya keluar dan menjerit memanggil penyewa lain menyelamatkan diri memandangkan api mula marak memusnahkan sebahagian dinding rumah diperbuat daripada kayu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.


Sementara itu, seorang lagi mangsa, Rasila Husin, 36, berkata, dia terjaga dan terkejut mendengar jeritan rakan yang meminta mereka keluar menyelamatkan diri.

“Saya terpinga-pinga dengan apa yang berlaku dan segera mencapai apa yang mampu ketika keluar memandangkan kejadian itu berlaku pada awal pagi dan keadaan rumah gelap menyukarkan untuk mencapai barangan lain.


“Saya kini hilang tempat tinggal selain hidup sehelai sepinggang kerana semuanya musnah dijilat api,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Roslan Saleh, 48, yang menyewa sejak tiga tahun lalu berkata, ketika kejadian, dia tiada di rumah kerana pulang ke rumah keluarganya di Cheng.


“Saya tahu mengenai kebakaran ini selepas dimaklumkan rakan awal pagi tadi (semalam). Saya memang menyewa di sini, namun digunakan untuk menyimpan barang niaga memandangkan rumah terletak jauh dari kawasan bandar.


“Saya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan pada masa sama turut membawa beca, namun kejadian kebakaran menyebabkan barang niaga terbakar bersama beca kepunyaan saya,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.49 pagi membabitkan dua rumah separuh kekal. “Sebanyak dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu dan satu ‘water tanker’ bergerak ke lokasi untuk melakukan memadamkan api. Api berjaya dikawal dalam masa beberapa minit dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment