Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Panggilan telefon selamat nyawa

Panggilan telefon selamat nyawa
 Keadaan rumah Noryatimah sekeluarga yang hangus dalam kebakaran itu. 
25 April 2014MARANG – Panggilan telefon daripada isteri menyelamatkan nyawa seorang peniaga santan apabila rumah mereka di Kampung Laut, dekat sini, terbakar ketika mangsa sedang tidur di bahagian dapur rumah, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu dipercayai bermula dari sebuah bilik tidur sebelum merebak ke seluruh bahagian rumah kayu setingkat berkenaan, ditambah keadaan cuaca yang panas menyebabkan api cepat merebak.

Isteri mangsa, Noryatimah Mahmud, 40, seorang penjual kain berkata, ketika kejadian, dia berada di Pasar Besar Kedai Payang, manakala suaminya, Mohd Shuhaini Abdullah, 50, yang bekerja di pasar sama pula pulang awal ke rumah.

Menurutnya, kejadian hanya disedari suaminya apabila terjaga daripada tidur setelah mendengar deringan telefon dan terkejut apabila melihat bahagian dapur dipenuhi asap serta api merebak ke dalam rumah.

“Suami kemudiannya berusaha menyelamatkan barang sementara saya bergegas pulang, tetapi saya tak dapat buat apa-apa sebab api cepat marak. Suami pula hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal,” katanya.

Noryatimah berkata demikian selepas menerima lawatan Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah di tempat kejadian setelah beliau menerima laporan mengenai kejadian kebakaran itu.

Mengulas lanjut, Noryatimah berkata, kerugian ditanggung mereka dianggarkan melebihi RM40,000 apabila kebanyakan peralatan dan barang dalam rumah tidak sempat diselamatkan termasuk dokumen penting.

“Namun, saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga mengalami sebarang kecederaan dan berterima kasih kepada pelbagai pihak termasuk orang perseorangan yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, seramai 12 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu serta Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira jam 3.20 petang.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Penolong Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fauzi Muda berkata, api berjaya dikawal sepenuhnya 20 minit kemudian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

No comments:

Post a Comment