• Sebahagian komputer yang dirampas pasukan polis ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis terbabit.Sebahagian komputer yang dirampas pasukan polis ketika menjalankan serbuan di salah sebuah premis terbabit.

SABAK BERNAM – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam berjaya rampas 49 komputer termasuk peranti mesin judi internet berkenaan dan wang tunai berjumlah RM400 dalam operasi berasingan di Sungai Besar dan Sekinchan bermula 21 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, operasi itu bermula di Taman Nirwana Sungai Besar besar kira-kira jam 9 malam apabila seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung judi internet.

Menurutnya, serbuan diketuai Cif Inspektor Subramania, polis berjaya rampas 14 komputer ketika pelanggan leka bermain aktiviti haram itu.

“Hasil risikan polis dan maklumat awam, kami berjaya kesan beberapa premis perniagaan menjalankan kegiatan itu dan kemudiannya mengadakan serbuan di lokasi terbabit,” katanya.

Beliau berkata, keesokannya polis menjalankan dua serbuan di Jalan Menteri Besar 2, Sekinchan kira-kira jam 9 malam dan menahan dua lagi lelaki berusia 40 dan 60 tahun di premis berasingan.

Sementara dalam serbuan kedua, katanya, polis berjaya rampas tiga komputer di premis berkenaan.  

“Kami berjaya melumpuhkan aktiviti perjudian internet di kedua-dua kawasan ini dan harap pemilik premis tidak meneruskan operasi selepas komputer dan perantinya dirampas dalam serbuan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin yang dirampas dan penjara maksimum lima tahun.

Noor Mushar berkata, polis serius membendung aktiviti itu dan akan sentiasa menjalankan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan itu agar perjudian internet dilumpuhkan di kawasan terlibat.

“Diingatkan agar pengusaha premis patuhi peraturan. Kami akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.