Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

'Mujurlah bomba cepat sampai'

WARTAWAN SINAR HARIAN
'Mujurlah bomba cepat sampai'
Keadaan kedai Mahasan yang terbakar dalam kejadian di Arked Mara Chukai, lewat petang kelmarin.   
12 April 2014
CHUKAI - “Mujurlah bomba cepat sampai, kalau tak mungkin kedai saya 100 peratus hangus,” kata pemilik kedai serbaneka, Mahasan Hussin, 45, yang nyaris kerugian puluhan ribu ringgit selepas premisnya di Arked Mara Chukai terbakar, lewat petang kelmarin.

Tindakan pantas pasukan bomba dan penyelamat juga berjaya mengelakkan api daripada merebak ke lot kedai bersebelahan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu iaitu selepas sejam setengah mangsa menutup kedainya.

Mahasan berkata, sebelum menutup kedainya dia tidak merasa apa-apa yang pelik dan tidak menyangka premisnya akan terbakar.

“Ketika terima panggilan telefon mengenai kes ini saya sudah berada di rumah saya di Chendor dan bergegas datang ke kedai.

“Semasa sampai, api sudah dipadamkan bomba dan saya bersyukur kerana kedai tak musnah 100 peratus, hanya sebahagian dinding terbakar selain ada juga perkakas dalam kedai dan barang-barang jualan yang musnah,” katanya.

Kebakaran tersebut dipadamkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman dengan bantuan anggota dari BBP Chukai yang segera berkejar ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam.

Ekoran kejadian itu mangsa yang juga bapa kepada empat anak menanggung kerugian kira-kira RM4,000.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada mesin wang tunai di kedai berkenaan yang telah beroperasi sejak dua tahun lalu.

Seorang saksi yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian dia melihat kepulan asap keluar dari kedai serbaneka itu menyebabkan orang ramai yang berada di situ panik kerana khuatir kebakaran akan merebak ke lot kedai lain.

“Dalam keadaan cemas itu ada yang hubungi bomba dan tak sampai beberapa minit pasukan bomba tiba serta segera bertungkus lumus membuka pintu kedai itu untuk padamkan api yang datang dari dalam kedai,” katanya.

Sementara itu Adun Chukai, Hanafiah Mat turut meluangkan masa meninjau keadaan kedai dan memberi kata perangsang kepada Mahasan agar bersabar dengan ujian berkenaan.

No comments:

Post a Comment