Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Mengaku tak salah keluar wang rakan


2014/04/05 - 04:38:1

Kuala Lumpur: Seorang bakal pengantin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas 11 pertuduhan melakukan pengeluaran wang tanpa kebenaran rakannya membabitkan RM9,650, dua tahun lalu.

Tertuduh, Syafrida Syafril, 23, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul’ain Abdul Rahim.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pengeluaran wang tanpa kebenaran Zaiton Ibrahim, 48, melalui 11 transaksi berasingan membabitkan jumlah RM9,650.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dua bank, di dalam bangunan Capital Square, di sini, di antara 27 Disember 2011 hingga 29 Disember 2012.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Raveendran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, seorang lelaki yang mengakui tunang tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan atas alasan mereka bakal berkahwin bulan depan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

No comments:

Post a Comment