Search This Blog

Monday, April 21, 2014

‘MEMPELAM AKU HILANG’


Kegembiraan seorang pengusaha ladang dengan kehadiran musim harumanis bertukar kesedihan apabila kira-kira 200 kilogram buah mempelam dianggarkan bernilai RM3,000 dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, kelmarin.

Kejadian hanya disedari jam 9 pagi ketika mangsa Ismail Kamis, 57, tiba di ladangnya di Kampung Baru Panggas, Chuping, di sini, untuk memetik mempelam Perlis Sunshine bagi dijadikan cenderahati sebuah program yang berlangsung.

Ismail berkata, dia pergi ke ladang berkenaan untuk memetik buah mempelam Perlis Sunshine sebelum melihat bungkusan kertas yang membalut buah harumanis berselerakan di bawah hampir setiap pokok berkenaan.

“Saya kemudian memeriksa setiap pokok mempelam Perlis Sunshine dan mendapati terdapat kesan buah dipetik.



Apabila meneruskan pemeriksaan, saya terkejut apabila melihat tiada langsung bungkusan kertas pada sembilan pokok harumanis di hujung kawasan ladang.

“Berikutan itu, saya tidak mampu berkata apa-apa kerana mengalami kerugian, sedangkan baru datang melihat dan mendapati semalam (kelmarin) adalah waktu sesuai untuk memetik buah terutama mempelam harumanis,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kali pertama kepadanya sejak mengusahakan ladang terbabit secara sewaan lebih tujuh tahun lalu dan percaya buah mempelam harumanis berkenaan dicuri pada malam sebelumnya.

Katanya, dia menganggarkan tidak kurang 200 kilogram buah mempelam harumanis bernilai lebih RM3,000 dilarikan pihak tidak bertanggungjawab berdasarkan harga jualan ladang antara RM15 hingga RM20 sekilogram.

“Walaupun masih mempunyai 80 pokok mempelam Perlis Shushine yang mampu mengutip hasil antara lapan hingga sembilan tan, namun saya terkilan kerana ada pihak cuba mengaut keuntungan kerana harga jualan harumanis ketika ini mencecah RM25 sekilogram.

“Saya juga percaya mereka juga berhasrat memetik sebanyak mungkin buah mempelam Perlis Sunshine berdasarkan longgokan pembungkus kertas yang berselerakan di bawah setiap pokok tetapi mungkin tidak mempunyai masa mencukupi,” katanya.

Menurutnya, dia percaya pencuri buah itu masuk ke ladangnya dengan memotong kawat berduri di bahagian penjuru hadapan pagar ladangnya berdasarkan kesan yang diperolehi.

“Mungkin bukan rezeki tahun ini, tetapi saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak kerana tidak mempunyai bukti.

Saya menerima perkara ini sebagai takdir dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan.


daripada mangsa dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment