Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Mayat berkafan dalam sawah


Pokok Sena: “Saya tergamam melihat satu objek dalam petak sawah sebelum melihat mayat seorang lelaki siap dikafankan,” kata Saari Ariffin, 68, yang menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di sawah miliknya di Kampung Tuba, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, mangsa belum dikenal pasti identitinya dipercayai dibuang di kawasan itu sejak seminggu lalu berdasarkan keadaan mayat sudah 60 peratus reput.

Saari berkata, dia sudah dua bulan tidak ke sawah miliknya terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya di Kampung Tok Keling, dekat ini, menyebabkannya terkejut apabila menemui mayat yang sudah siap dikafankan dengan kain.

“Saya datang untuk membersihkan kawasan sawah berkeluasan 1.5 hektar terkejut melihat satu objek seakan-akan kepala manusia.



Bagi mendapatkan kepastian saya menggunakan cangkul untuk menarik objek yang terdapat dalam sawah ini.

“Alangkah terkejut apabila melihat mayat seorang lelaki yang sudah siap dikafankan dengan kain berwarna putih dalam keadaan tertiarap di dalam petak sawah,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Menurutnya, sepanjang mengusahakan sawah itu sejak 30 tahun lalu, dia tidak pernah menemui mayat dalam keadaan mengerikan.

“Saya masih trauma kerana tidak pernah melihat mayat dalam keadaan begini.

Saya pernah bekerja sebagai penggali kubur beberapa tahun lalu dan sedikit sebanyak mengurangkan ketakutan kerana sudah biasa mengebumikan jenazah,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan, “Siasatan mendapati mayat terbabit dipercayai dibuang di situ dan pemeriksaan lanjut mendapati tiada kesan kecederaan selain tiada sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian sama ada mati mengejut atau dibunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/21

No comments:

Post a Comment