Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Malu dianggap hutang along


Johor Bahru: “Ketika sedang makan, tiba-tiba anak saya menangis dan mengatakan dia malu dengan rakan sekolah disebabkan saya berhutang dengan along,” kata seorang kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, di sini, semalam.

Mahu dikenali sebagai Sukarman, dia mula diganggu sindiket penyeludupan arak dan rokok selepas terbabit dalam operasi penguatkuasaan jabatan berkenaan termasuk rampasan barangan seludup di pintu masuk di Tambak Johor dan Link Kedua Malaysia-Singapura, sejak akhir-akhir ini.


Terbaru, kediamannya menjadi mangsa balingan cat merah menyebabkan keretanya rosak.



“Kehidupan keluarga saya terjejas, lebih teruk ia memberi kesan kepada emosi anak yang beranggapan saya berhutang dengan along.


“Perkara ini berlaku kepada ramai lagi kakitangan lain dan menghantui kehidupan kami. Pihak berkuasa perlu bertindak tegas menangkap penjenayah ini kerana dikhuatiri mereka boleh bertindak lebih agresif,” katanya.


Menurut mangsa, dia bersama isterinya berasa tidak sedap hati sebelum kejadian itu hingga mendorongnya memasang sistem penggera kenderaan yang sensitif terhadap apa saja lintasan objek di hadapan rumah.

“Tetapi, pada malam kejadian, penggera kereta tidak langsung berbunyi sedangkan sebelum itu kalau kucing melintas sekalipun, ia berbunyi,” katanya.


Sementara itu, saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Ah Meng berkata, ketika kejadian, dia merokok di halaman rumahnya sebelum melihat PROTON Wira dinaiki beberapa lelaki.

“Saya terperanjat melihat ada kesan cat merah di rumah jiran selepas kereta berkenaan berlalu,” katanya.


Menurut mangsa, dia cuba meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang baru dipasang di rumahnya beberapa hari sebelum kejadian, tetapi terperanjat kerana ketika rakaman kejadian seolah-olah alat itu dimatikan.


“Saya cuba melihat rakaman CCTV, tetapi pelik kerana ketika kejadian tidak dirakam, tetapi apa yang ada, cuma rakaman sebelum dan selepas kejadian sedangkan ia berfungsi dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment