Search This Blog

Saturday, May 10, 2014

Penunggang motor tersepit maut dirempuh kereta


Hulu Selangor: Seorang penunggang motosikal ditemui maut dalam keadaan mengerikan apabila badannya tersepit pada besi penghadang jalan manakala kakinya terputus dan tercampak di tengah lebuh raya.

Dalam kejadian jam 4.10 petang kelmarin, mangsa, Muhammad Azhar Niam Zulkifli, 25, dikatakan dirempuh sebuah kereta di Kilometer 408.1 Lebuh raya Utara Selatan (NSE) menghala ke Ipoh selepas Plaza Tol Lembah Beringin.

Nahas itu menyebabkan mangsa maut di lokasi kejadian manakala kereta yang melanggarnya terbabas ke dalam gaung sedalam 100 meter.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Shukri Yaacob berkata, kereta Audi dipandu Teoh Gim Yeow, 36, bersama rakannya, Huang Zike, 27, dikatakan hilang kawalan dan merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Audi itu dipandu laju ketika hujan lebat.



Pemandu kereta dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh menuruni bukit.

“Kereta hilang kawalan dan merempuh Muhammad Azhar.

Mangsa kemudian terbabas dan merempuh pembahagi besi jalan,” katanya.

Katanya, pemandu dan penumpang kereta Audi itu cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

“Satu daripada tayar kereta Audi itu tercabut dan tergolek di laluan paling kanan.


Sebuah Proton Perdana yang dalam perjalanan ke Cameron Highlands cuba mengelak dan terbabas merempuh besi pembahagi jalan,” katanya.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penumpang kereta berkenaan terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru, Omar Mohd Yatim berkata, operasi menyelamat mangsa dibantu anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim.

Omar berkata, kawasan cerun memaksa bomba menggunakan tali untuk membawa naik kedua-dua mangsa di dalam kereta yang terjatuh di dalam gaung.

Katanya, seorang mangsa iaitu pemandu kereta itu dibawa naik oleh anggota bomba Tanjung Malim manakala pihaknya menaikkan mangsa wanita yang patah kaki kanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/10

No comments:

Post a Comment