Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Lelaki pukul rakan kerana hutang RM40


2014/04/21 - 06:47:14
Setiu: Hanya kerana berhutang RM40, seorang lelaki dipukul rakannya dengan sebatang besi sehingga parah di Kampung Bukit Chalok, dekat sini, malam kelmarin.

Akibat pukulan itu, mangsa menerima lapan jahitan di kepala ketika dirawat di Hospital Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed, berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu, suspek berusia 41 tahun tiba-tiba meluru ke arah mangsa yang berada di tepi jalan, lalu memukulnya dengan menggunakan sebatang besi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini meminjam RM40 daripada suspek tetapi belum menjelaskannya menyebabkan suspek naik berang dan memukul mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata," katanya kepada pemberita selepas Program Menembak Sempena Sambutan Hari Polis Ke-207 di Lapang Sasar Lembah Bidong, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Datuk Sabri Mohd Noor; ADUN Batuk Rakit, Bazlan Abd Rahman dan Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.

Mengenai program menembak sempena sambutan Hari Polis, Ab Rahman berkata, ia diadakan bagi mengeratkan hubungan polis dengan masyarakat setempat membabitkan penjawat awam di daerah Setiu.

No comments:

Post a Comment