Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Lelaki pasang bendera 'Kesultanan Sulu' ditahan


LAHAD DATU 22 April - Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hari ini menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya diberikan kuasa oleh 'Sultan Sulu' bagi mengurus orang-orang Suluk yang berada di daerah ini.
Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada pukul 5.30 pagi ini di sebuah rumah di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan kerana memasang dua bendera Kesultanan Sulu berwarna merah yang memaparkan dua bilah senjata dan tulisan Arab serta lima bintang di hadapan pintu rumah berkenaan.
Ketua Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mentek berkata, tindakan lelaki yang hanya memiliki salinan Mykad itu dikesan pasukan Esscom yang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 9 malam, kelmarin.
Beliau berkata, pasukan berkenaan kemudian melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan Esscom yang kemudiannya memaklumkan kepada Briged Esscom yang berpangkalan di Cenderawasih, di sini.
"Anggota pertahanan dan keselamatan Esscom yang membabitkan satu platun masing-masing dari Rejimen Askar Melayu Diraja dan VAT 69 mengepung perkampungan itu sebelum menggeledah rumah suspek. Identiti lelaki itu dirahsiakan atas faktor keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Kampung Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo, lokasi berlakunya pencerobohan kumpulan pengganas Kiram pada awal tahun lalu yang mengorbankan 10 anggota pasukan keselamatan negara.
Tambah Mohammad, pasukan berkenaan turut menggeledah empat buah rumah di hujung kampung berkenaan yang berada berhampiran dengan pantai sebelum memasuki rumah suspek yang memasang dua bendera Kesultanan Sulu itu.
"Terdapat 14 orang mendiami rumah tersebut dan selepas mereka disoal siasat, pasukan keselamatan menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140423/je_03/Lelaki-pasang-bendera-Kesultanan-Sulu-ditahan#ixzz2zj0Aj6uE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment