Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Lelaki fitnah Rosmah direman


KUALA LUMPUR 6 April - Pemilik akaun Facebook yang dipercayai memuat naik status menghina isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan menyatakan konon-nya beliau telah terkorban dalam nahas pesawat dari Perth, Australia baru-baru ini, ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini.
Pemilik Facebook berusia 24 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu, lelaki itu telah ditahan polis di rumahnya di Bandar Universiti, Seri Iskandar, Perak pukul 12.10 malam tadi.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis bertindak menahan suspek yang bekerja dan berniaga di kedai dobi di Bandar Universiti, berdasarkan dua laporan polis yang dibuat di Sentul dan Putrajaya sepanjang minggu lalu.
"Ketika ditahan, polis turut merampas telefon bimbit, sebuah komputer termasuk pendrive (pemacu pena) dan peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan menyebarkan fitnah terhadap Rosmah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairi berkata, dengan tertangkapnya lelaki tersebut, polis yakin telah berjaya menyelesaikan kes fitnah dan penghinaan terhadap isteri Perdana Menteri itu.
Menurutnya, suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Dua hari lalu, suspek bertindak biadab apabila memuat naik status di laman sosial Facebook menyatakan bahawa Rosmah telah terkorban dalam satu nahas pesawat di Perth.
Status Facebook tersebut yang berbunyi Dari Ia kita datang, dan dari Ia juga kita dikembalikan turut disertakan dengan gambar palsu cebisan daging dan tulang yang disunting dan diletakkan wajah Rosmah,
Suspek juga dengan berani mencabar Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati untuk mengambil tindakan dan membuat laporan polis terhadapnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140407/je_07/Lelaki-fitnah-Rosmah-direman#ixzz2yCU5GEZD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment