Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Lelaki bakar mayat bapa bekas kekasih


BANGLO di Hemel Hempstead, lokasi Thomas Baird dibunuh dalam satu kejadian kebakaran.- Dailymail
JAMES Carbott, 31, bertindak ganas dengan membelasah bapa bekas teman wanitanya dengan pisau pengumpil dan menikamnya menggunakan pisau pemotong kotak di banglo milik mangsa di Hemstead, Hertfordshire, timur England.
Dia kemudian meninggalkan banglo tempat kejadian itu berlaku sebelum kembali semula ke situ untuk memusnahkan bukti dengan mencurah petrol ke atas Thomas Baird, 63, yang terbaring di tangga namun tidak diketahui sama ada telah mati atau nyawa-nyawa ikan.
Lelaki itu kemudian membakar tubuh mangsa dan banglo milik mangsa.
Pada 27 Mac lalu, Carbott menerima pembalasan terhadap perbuatan kejamnya itu apabila dia dihukum penjara minimum 27 tahun atas kesalahan membunuh mangsa, tahun lalu.
Ketika menjatuhkan hukuman di Mahkamah Albans Crown, Hakim Andrew Bright berkata: "Serangan kamu sungguh ganas dan tanpa henti."
Carbott dari Epping Green, Hemel Hempstead dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Baird di antara Jumaat, 1 Mac dan Sabtu, 2 Mac 2013 dan tuduhan cuai menyebabkan kebakaran sehingga membahayakan nyawa.
Panel 12 juri membuat keputusan majoriti 10-2 mensabitkan tertuduh dengan tuduhan membunuh. Kesemua mereka sebulat suara mendapati lelaki itu bersalah atas tuduhan menyebabkan kebakaran.
Semasa perbicaraan, para juri yang terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita diberitahu bahawa Carbott telah berpisah dengan anak mangsa, Kelly pada Oktober 2012, lima bulan sebelum pembunuhan berlaku.
Sewaktu Carbott tinggal bersama Kelly di banglo tersebut, dia telah mengubah pendawaian elektrik untuk memintas meter.
Apabila mereka berpisah, Baird memintanya membetulkan semula pendawaian tersebut dan Carbott pada mulanya berjanji akan menemui mangsa namun menelefon untuk membatalkan temu janji tersebut.
Pendakwa, Stuart Trimmer berkata, sikap Carbott benar-benar menjengkelkan Baird yang memberitahu rakan-rakan dan saudara mara tentang hal itu serta mengugut untuk merosakkan kediaman Carbott bersama ibunya.
Sebagai balasan terhadap pesanan suara yang ditinggalkan oleh mangsa, Carbott telah pergi ke rumah banglo Baird di Westerdale.
Di kediaman tersebut, lelaki itu menyerang Baird yang mempunyai ketinggian 167 sentimeter dan berat 66 kilogram dengan pisau dan besi pengumpil. Turut terdapat kesan tikaman yang menyebabkan rahang retak.
Peti suara mangsa turut didapati pecah iaitu kecederaan yang mungkin disebabkan oleh tindakan mencekik tetapi besar kemungkinan akibat daripada ditendang atau dipijak sewaktu terbaring di lantai.
Pakar patologi, Dr. Nat Carey menemukan pendarahan dalaman otak dan kesan akibat pukulan objek tumpul termasuk satu kesan pukulan yang amat kuat di bahagian kanan menyebabkan keretakan pada tempurung dan pangkal otak.
Terdapat juga kesan terbakar di bahagian kepala, badan dan kaki. Ketiadaan jelaga pada saluran pernafasan menunjukkan mangsa telah mati atau tinggal nyawa-nyawa ikan sewaktu dibakar.
Carbott ditahan polis pada keesokan harinya dan pada mulanya menafikan perbuatannya itu.
Dia juga tidak memberi sebarang komen pada empat sesi soal siasat oleh pihak polis tetapi memberi kenyataan bertulis melalui peguamnya yang me­nyatakan Baird telah meninggalkan kata-kata ugutan terhadap dirinya dan ibunya.
Tidak mahu ibunya terus diugut, Carbott telah pergi ke kediaman lelaki tersebut. Apabila tiba di rumah mangsa, dia memberitahu Baird telah membuka pintu sambil memegang besi pengumpil dan pisau lalu berkata: ‘J, ambil ni’ sebelum cuba menikamnya.
Dia memberitahu terdapat pergelutan di antara mereka dan kecederaan berlaku ketika Carbott cuba merampas senjata tersebut. Dalam kenyataan bertulis itu, Carbott mengaku telah membakar kediaman tersebut kerana takut.
Katanya, dia kemudian meninggalkan tempat kejadian dengan sebuah kereta menuju ke kawasan ladang berhampiran lalu membakar pakaiannya dan membuang pisau serta besi pengumpil ke dalam longkang berdekatan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140426/lu_11/Lelaki-bakar-mayat-bapa-bekas-kekasih#ixzz2zwSS9l00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment