Search This Blog

Wednesday, April 23, 2014

Korban feri karam kini 121 orang


SEOUL 22 April - Angka korban feri karam pada minggu lalu, meningkat kepada 121 orang hari ini, sementara 181 lagi masih hilang ketika usaha mencari dan menyelamat terus digiatkan.
Kejadian itu merupakan tragedi feri karam terburuk dalam tempoh 20 tahun di Korea Selatan.
Jumlah itu disahkan kerajaan, awal hari ini apabila penyelam menemukan 34 lagi mayat di bahagian dek feri berkenaan, lokasi dipercayai paling ramai penumpang terperangkap.
Kelmarin, sebanyak 28 mayat ditemukan di bahagian tersebut.
Usaha mencari dan menyelamat, hari ini turut memasuki fasa baharu apabila sebuah robot ciptaan tempatan yang mampu bergerak dalam air, bakal digunakan bagi memudahkan misi pencarian.
Akhbar Dong-A Ilbo melaporkan, robot Crabster seberat 600 kilogram itu yang menggunakan enam kaki untuk bergerak di dasar laut, boleh menentukan laluan mudah untuk diikuti penyelam memasuki badan feri berkenaan.
Penyelidik Institut Sains Lautan dan Teknologi Korea Selatan, Jeon Bong-hwan semalam berkata, robot itu sedang dibawa ke tempat kejadian.
Amerika Syarikat turut menghantar sebuah kapal tentera, USNS Safeguard bagi membantu Korea Selatan menaikkan feri Sewol yang karam itu, menurut kenyataan Pentagon, semalam.
Jurucakap Pentagon, Kolonel Steve Warren berkata, Korea Selatan tidak meminta AS menghantar kapal itu secara rasmi, namun USNS Safeguard telah pun belayar dari Thailand ke negara ini dan boleh digunakan sekiranya diperlukan.
Kapal berukuran 78 meter itu direka untuk mengeluarkan kapal atau membaiki kapal rosak akibat pertempuran, selain mampu mengangkat, menunda kapal dan mengendalikan operasi menyelam.
Selain USNS Safeguard, kapal perang USS Bonhomme Richard kini turut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan selatan negara ini. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140423/lu_05/Korban-feri-karam-kini-121-orang#ixzz2ziwFOPTt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment