Search This Blog

Tuesday, April 29, 2014

Kematian MERS di Saudi cecah 102 orang


JEDDAH 28 April - Kematian akibat jangkitan Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) di Arab Saudi meningkat kepada 102 orang semalam sejak 2012, dengan 10 lagi kes kematian terbaharu dicatat semalam.
Antara mangsa terlibat merupakan bayi berusia sembilan bulan serta wanita warganegara Indonesia berusia 61 tahun.
Ancaman jangkitan tersebut menyebabkan ketakutan dalam kalangan orang awam apabila sebanyak 39 kematian berlaku dalam bulan ini sahaja, kira-kira satu pertiga daripada jumlah korban setakat ini.
Kementerian Kesihatan melaporkan, 16 kes terbaharu turut dikesan di Jeddah, Tabuk dan Riyadh, antaranya membabitkan tiga orang doktor dan enam orang jururawat warganegara Filipina.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Arab Saudi, Adel Fakeih telah mengarahkan jabatan kesihatan menyediakan empat buah pusat rawatan MERS-CoV di Najran, Jeddah, Riyadh dan Dammam.
Menteri Pendidikan, Khaled al-Faisal pula menggesa pihak sekolah untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghalang penyebaran virus itu dalam kalangan pelajar.
Menurut beliau, sehingga kini tiada kes MERS-CoV dilaporkan di sekolah-sekolah yang terus beroperasi walaupun kes jangkitan semakin membimbangkan.
Bilangan pengunjung hospital turut dilaporkan menurun selepas kes MERS-CoV dikesan dalam kalangan doktor dan jururawat, manakala pihak kementerian dilaporkan hanya mengenakan langkah pencegahan biasa berikutan kes penyakit itu.
Dalam perkembangan sama, wakil Kementerian Haji, Abdullah Marghalani berkata, pihaknya masih belum mengadakan sebarang langkah khusus bagi menangani wabak MERS-CoV.
Namun, tambah beliau, kes penyakit itu tidak memberi kesan terhadap jumlah pengunjung ke negara ini dan menambah, seramai 3.8 juta jemaah umrah melawat Arab Saudi tahun ini. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140429/lu_04/Kematian-MERS-di-Saudi-cecah-102-orang#ixzz30Do4OCfZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment