Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Keluarga cemas tembakan rambang ke rumah


PETALING JAYA 5 April - Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan selepas sekumpulan lelaki menembak secara rambang ke arah rumah mereka di pekan lama Petaling Jaya di sini malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu dipercayai berlaku selepas kumpulan penjenayah itu mengejar seorang lelaki yang tiba-tiba melompat masuk ke dalam kawasan rumah mereka.
Menurut salah seorang ahli keluarga tersebut yang enggan dikenali, dia dan beberapa ahli keluarga lain sedang menonton televisyen ketika kekecohan itu bermula di hadapan rumah mereka.
“Ketika itu kami telah kunci jeriji besi tetapi membiarkan pintu utama terbuka. Namun saya bergegas menutup kembali pintu itu setelah terdengar seseorang secara tiba-tiba melompat masuk ke halaman rumah.
“Kami terus tutup lampu dan segera menghubungi polis dan waktu itulah kami terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali yang saya percaya adalah tembakan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambahnya, selepas terdengar bunyi parang yang dicampak ke atas simen, dia memberanikan diri mengintip dari dalam rumah dan terlihat seorang lelaki dalam keadaan berdarah dan berjalan terhincut-hincut.
“Walaupun cedera dia masih mampu memanjat pagar rumah dan selepas itu dibawa oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan ke hospital berdekatan.
“Kami juga bernasib baik kerana peluru itu tidak mengenai kami kerana terdapat kesan peluru di bahagian pintu," katanya.
Sementara itu, sumber memberitahu, mangsa, B. Thiyagu, 26, telah ditetak sebelum masuk ke rumah keluarga berkenaan untuk berlindung.
“Mangsa mungkin telah diserang dengan parang ketika dalam perjalanan pulang kerja dan dia telah melompat masuk ke dalam halaman rumah itu untuk menyelamatkan diri," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140406/je_04/Keluarga-cemas-tembakan-rambang-ke-rumah#ixzz2yCUELhPf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment