Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Keluar mayat drebar guna jengkaut


Kuala Terengganu: Seorang pemandu treler yang maut terpaksa dikeluarkan menggunakan bantuan jengkaut selepas tersepit dalam kenderaan dipandunya yang bertembung dengan sebuah lori membawa muatan makanan ayam di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Tepoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa, Mohamad Rosli Othman, 44, yang memandu treler membawa kabel elektrik dikatakan dalam perjalanan dari arah LPT menuju ke pusat bandar.


Bagaimanapun, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat, treler dipandu mangsa hilang kawalan sebelum merempuh belakang sebuah lori dari arah Kota Bharu menuju ke Kuala Terengganu.

Mohamad Rosli yang tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kelindannya lingkungan 30-an yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.


Pemandu lori lingkungan 40-an pula tidak cedera.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota Azmi Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan jam 1.03 petang dan tiba di tempat kejadian bersama enam anggota serta dibantu empat anggota dari Pasukan Bomba Sukarela Kuala Nerus.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya menghadapi kesukaran mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kepala treler berkenaan dan terpaksa meminta bantuan daripada jengkaut dari kuari berhampiran.


“Sebaik kabel elektrik dialihkan dan kepala treler berkenaan dibuka dengan bantuan jengkaut, barulah anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa.

“Anggota berjaya mengeluarkan mangsa sejam kemudian dan lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan HSNZ di situ,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment