Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Keberanian amah diiktiraf Time


Hong Kong: Majalah Time menyenaraikan pembantu rumah Indonesia yang didera majikannya dalam senarai 100 orang paling berpengaruh, sekali gus menarik perhatian terhadap isu layanan terhadap pekerja asing di Hong Kong.

Erwiana Sulistyaningsih, 23, mengalami penderaan selama berbulan-bulan yang menghangatkan semula polemik mengenai pembantu rumah di bandar raya berkenaan dan mencetuskan kemarahan di kalangan orang ramai.

Time menyanjung keberanian Erwiana menegakkan hak dan mengheret majikannya ke mahkamah bagi membolehkan pembantu rumah di Hong Kong dilindungi undang-undang.

Aktivis hak asasi manusia dari Kemboja, Somaly Mam berkata, suara wanita berani seperti Erwiana bakal membawa perubahan berpanjangan.

“Permintaan Erwiana agar undang-undang lebih baik bagi melindungi dan membela orang senasibnya membuka mata banyak pihak mengenai nasib kelompok minoriti yang sering dizalimi,” katanya.

Jurucakap Badan Penyelaras Pekerja Asing di Hong Kong, Eman Villanueva berkata, pengiktirafan Time menarik perhatian antarabangsa mengenai isu penderaan pembantu rumah.



- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/26

No comments:

Post a Comment