• Syed Ahmad Kabeer yang masih lemah bersama anak, S Hassan Kuthoos menunjukkan kesan koyak pada baju yang ditarik dua penyamun itu.Syed Ahmad Kabeer yang masih lemah bersama anak, S Hassan Kuthoos menunjukkan kesan koyak pada baju yang ditarik dua penyamun itu.

KLANG - Tindakan seorang warga emas menjerit dengan kuat meminta tolong telah menyelamatkan mangsa daripada ditikam menggunakan pisau oleh dua penyamun bermotosikal di kawasan Klang Sentral, Meru, Rabu lalu.

Mangsa yang juga pengusaha sebuah restoran, Syed Ahmad Kabeer Syed Mohamad, 70, bagaimanapun mengalami kecederaan di bahagian belakang selepas terjatuh ditolak salah seorang penyamun.

Berikutan kejadian itu, mangsa kini tidak mampu berdiri dan bergerak aktif seperti sebelum ini kerana tulang belakangnya lari daripada kedudukan asal.

Menceritakan kejadian itu, Syed Ahmad Kabeer yang juga bapa kepada Timbalan II Gerakan Masyarakat Prihatin Meru, S Hassan Kuthoos berkata, sebelum kejadian itu, dia ke Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membayar bil elektrik restorannya yang berjumlah hampir RM2,000.

“Saya ke sana menaiki bas kerana tak mahu susahkan anak-anak. Masa perjalanan balik, saya singgah di kawasan Klang Sentral untuk jumpa kawan sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Ketika berjalan kaki menuju ke sebuah premis rumah kedai, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri saya dan bertanyakan jalan dalam Bahasa Tamil,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Taman Meru Jaya, semalam.

Tanpa mengesyaki apa-apa, dia memberi kerjasama dan tidak menyangka pembonceng motosikal yang tidak memakai helmet mendekatinya secara meluru dan menarik kocek bajunya.

“Saya terkejut terus mempertahankan kocek baju yang berisi wang dan telefon bimbit serta beberapa bil yang telah dijelaskan bayaran.

“Lelaki itu terus menarik saya dan tidak cukup dengan itu, rakannya yang memakai helmet pula menyerbu sambil tangan kanannya menarik kocek saya.

“Berlaku pergelutan beberapa minit sebelum lelaki itu mengacukan pisau ke lengan kanan saya dan berjaya menarik kocek.

“Kocek saya koyak menyebabkan wang, telefon bimbit dan beberapa bil bertaburan di atas jalan,” katanya.

Katanya, khuatir ditikam penyamun itu, dia menjerit sekuat hati meminta pertolongan orang ramai yang berada di sebuah restoran makanan segera di situ.

“Kehadiran orang ramai  menyebabkan dua lelaki itu melarikan diri bagaimana mereka sempat mengambil wang berjumlah hampir RM200 yang jatuh ke jalan raya.

“Malah salah seorang daripadanya sempat tolak badan saya dan saya jatuh tersembam ke belakang hingga saya tidak dapat bangun sebelum dibantu orang ramai,” katanya.

Berikutan kecederaan itu, Syed Ahmad Kabeer dikejarkan ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan dan mangsa kini tidak lagi mampu berjalan dan hanya terbaring di kediamannya.

Namun dia bersyukur kerana nyawanya terselamat termasuk wang RM1,000 yang disimpan dalam kocek seluar di bahagian belakang tidak disentuh penyamun.

Sementara itu, S Hassan Kuthoos berkata, sehingga kini laporan polis belum dibuat kerana keadaan bapanya tidak mengizinkan.

Katanya, laporan polis akan dibuat selepas kesihatan bapa beransur pulih dalam masa terdekat.