Search This Blog

Thursday, May 8, 2014

Lima rumah rosak dipukul ribut di Pulau Pinang


ROBAINAI Rahman menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin kencang kepada Roslan Saidin (tengah) semasa meninjau keluarga tersebut di Permatang Saga, Kepala Batas, Pulau Pinang. - UTUSAN/Sazali Che Din
KEPALA BATAS 7 Mei - Lima buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda lima buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, angin dan hujan lebat telah menerbangkan bumbung rumah terbabit.
Antara kampung terbabit ialah Permatang Setar, Permatang Langsat, Permatang Saga, Kubang Menerung dan Kubang Menerung B.
Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin, kejadian ribut dan hujan lebat berlaku dengan pantas menyebabkan rumah penduduk rosak di bahagian bumbung apabila atap diterbangkan angin kencang.
Katanya, beliau berada di dalam pejabat di sini apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.
"Saya pergi melawat rumah terbabit dan mendapati sebahagian bumbung rumah rosak akibat diter­bangkan angin," katanya ketika ditemui di Permatang Langsat di sini hari ini.
Roslan berkata, kerugian akibat kejadian itu sekitar RM40,000.
"Kita mendapatkan peruntukan kecemasan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu membaiki rumah mangsa yang rosak dalam kejadian itu," katanya.
Seorang mangsa, Robainai Rahman, 70, berkata, dia sedang baring di bahagian dapur rumah apabila seorang jiran datang memberitahu bumbung rumah diterbangkan angin.
"Saya dengar bunyi angin dan hujan ketika itu dan tidak sangka bumbung rumah saya pula diter­bangkan angin," katanya.
Robainai berkata, ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama berlaku dua tahun lalu.
"Saya bersyukur terselamat dalam kejadian itu dan berterima kasih kepada UMNO yang membantu membaiki rumah saya," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20140508/wu_04/Lima-rumah-rosak-dipukul-ribut-di-Pulau-Pinang#ixzz31JBjRHqK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment