Search This Blog

Monday, April 21, 2014

Kapten feri pertahan tindakan


Wartawan menemubual Joon-seok (tengah), kapten feri Sewol yang karam di perairan luar Jindo sejurus dia keluar dari mahkamah selepas selesai menjalani siasatan di Mokpo, semalam. - REUTERS
MOKPO 19 April - Kapten feri Sewol yang karam di kawasan perairan selatan Korea Selatan empat hari lalu, mempertahankan keputusannya melambat-lambatkan proses pemindahan penumpang feri dengan mendakwa tindakan tersebut merupakan satu langkah keselamatan.
Lee Joon-seok, 68, serta dua lagi anak kapalnya ditahan awal pagi ini. Mereka dikritik kerana meninggalkan beratus-ratus penumpang sebaliknya menyelamatkan diri sendiri.
"Ketika kejadian, kapal penyelamat masih belum sampai. Kapal nelayan juga tidak ada berhampiran. Ombak agak kuat ketika itu dan air laut sangat sejuk.
"Penumpang boleh dihanyutkan jika mereka keluar dari feri," katanya ketika ditanya pemberita tentang tindakannya mengarahkan penumpang supaya terus berada di dalam feri selama 40 minit selepas pengangkutan itu me­ngalami masalah.
Joon-seok yang memakai baju hujan gelap ketika tiba di balai polis, pernah memohon maaf kepada keluarga mangsa sebelum ini.
Dia berdepan lima pertuduhan termasuk cuai melakukan tugas dan melanggar undang-undang maritim, lapor agensi berita Yonhap.
Setakat ini, sebanyak 31 penumpang disahkan maut dengan 273 lagi yang kebanyakannya pelajar sekolah masih hilang dengan 173 berjaya diselamatkan.
Dalam perkembangan bera­singan, ahli keluarga kepada penumpang feri yang masih hilang yang kini ditempatkan di sebuah gimnasium di Jindo, mengkritik cara kerajaan mengendalikan operasi menyelamat itu dengan menuduh pegawai terlibat tidak cekap dan mengambil sikap tidak peduli.
Keadaan di gimnasium itu agak tegang hari ini, apabila seorang lelaki dipercayai ahli keluarga penumpang bertindak meluru ke pentas untuk menumbuk seorang pegawai polis ketika satu taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat disampaikan.
Lelaki tersebut bertindak demikian kerana kecewa dengan tindakan kerajaan yang lambat menyampaikan maklumat kepada mereka.
Kelmarin, Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye yang mengunjungi gimnasium itu, menjadi mangsa kemarahan ahli keluarga penumpang yang menjerit meminta penjelasan daripadanya berhubung insiden berkenaan.
Pengawal-pengawal peribadi Geun-hye dilihat agak gugup apabila ibu-bapa yang berang berteriak ke arah Presiden itu dan beberapa pegawai lain yang berdiri di atas pentas gimnasium.
"Apa yang anda lakukan ketika rakyat sedang mati? Masa semakin suntuk!," teriak seorang wanita ketika Geun-hye ingin bercakap.
-AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140420/lu_03/Kapten-feri-pertahan-tindakan#ixzz2zTeKOeYN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment