Search This Blog

Wednesday, April 30, 2014

Jual peranti ceroboh jalur lebar


Tung Lun Tak cuba melindungi wajahnya ketika dirakamkan oleh jurukamera sewaktu keluar dari kamar Mahkamah Sesyen, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 28 April - Seorang peniaga didenda RM15,000 atau penjara satu tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membekalkan 47 unit peranti yang tidak diperakui oleh SIRIM Bhd. (SIRIM) bagi tujuan menceroboh sistem jalur lebar milik pengguna lain.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap Tung Lun Tak, 44, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Lun Tak didakwa membekalkan peranti tidak standard iaitu lima unit High Power Signal King, tujuh unit Sinmax dan 35 unit WiFiSky di No. 55, Jalan Damai Perdana 9/2J, Bandar Damai Perdana, Cheras di sini, kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 22 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 239 (1)(c) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 239(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, tindakan Lun Tak itu dikesan oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas mendapati lelaki itu membuat pesanan perekah wifi (wifi cracker) melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membuat pembayaran sebanyak RM179 atas nama syarikatnya, Tung Network Trading, kepada sebuah laman sesawang yang menjual produk tersebut.
Seterusnya, bertindak atas waran geledah, pegawai SKMM menyerbu syarikat tersebut dan menyita kesemua alat peranti yang tidak diluluskan oleh SIRIM serta dilarang penggunaannya di negara ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari SKMM, Zairulnahar Zakaria manakala Lun Tak tidak diwakili peguam bela.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140429/ma_01/Jual-peranti-ceroboh-jalur-lebar#ixzz30ND7JV3N
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment