Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

‘Jaga-jaga keluarga kamu’


Oleh Mohamad Fahd Rahmat
Johor Bahru: “Jangan ganggu perniagaan kami lagi, kalau tidak kami ganggu keluarga kamu.” Itu antara amaran anggota sindiket penyeludupan rokok dan arak yang kini semakin besar kepala dengan mengganggu kehidupan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Kini, mereka bukan hanya sekadar melemparkan kata-kata ugutan, malah bertindak lebih berani dan agresif.


Dalam kejadian jam 6.30 petang Ahad lalu, rumah pegawai kanan kastam di sekitar bandar raya ini dibaling cat merah hingga merosakkan kenderaan milik ahli keluarganya.



Sumber berkata, kehadiran pegawai kanan kastam itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar, di sini, mengundang rasa berang sindiket terbabit kerana dia tidak mahu bekerjasama dengan mereka.


Menurutnya, kejadian itu kali kedua dialami pegawai kastam berkenaan selepas perbuatan sama dipercayai dilakukan anggota sindiket itu hingga merosakkan dua kereta miliknya pada 17 Mac lalu.


“Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan anggota sindiket yang berang selepas pihak berkuasa enggan bekerjasama dengan mereka dan tegas menjalankan tugas, termasuk menyita barangan seludup arak serta rokok di pintu masuk laluan Tambak Johor dan Link Kedua Malaysia-Singapura sejak 2012 lagi.

“Ahli sindiket terbabit dipercayai membawa barangan seludup berkenaan melalui pintu masuk itu selepas mendapat permintaan tinggi untuk pasaran ke seluruh negara,” katanya.


Menurut sumber, anggota sindiket itu juga dipercayai mempunyai kepakaran mematikan sistem penggera kenderaan.

Katanya, mereka berkemampuan mengawal kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa menggunakan alat kawalan jauh bagi mengelak kerja terkutuk mereka dikesan.


“Sehingga kini, lebih 53 laporan polis dibuat anggota JKDM, termasuk menjadi mangsa dibaling cat di rumah dan kenderaan, memecahkan tingkap kenderaan, menghantar nota ugutan, termasuk melalui SMS dan panggilan telefon selain tindakan anggota sindiket mengekori anggota sehingga ke kediaman mereka.


“Disebabkan beberapa kejadian itu, kebanyakan kakitangan JKDM ketakutan dan hilang semangat bekerja, termasuk ada yang meminta pertukaran lokasi kerja selain berkira-kira untuk berhenti atau mencari pekerjaan lain kerana berasa keselamatan ahli keluarga turut terancam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment