Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Jabatan Imigresen tumpaskan sindiket dokumen palsu warga India


JAMES Musa Singa menunjukkan sebahagian bahan bukti yang dirampas daripada sindiket pemalsuan dokumen warga India di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 11 April - Jabatan Imigresen Kuala Lum­pur melumpuhkan kegiatan pemalsuan pelbagai dokumen untuk warga India ekoran penahanan enam rakyat negara itu, dipercayai ahli satu sindiket, di sebuah premis di Jalan Ampang, di sini semalam.
Serbuan dilakukan sepasukan lapan pegawai serta anggota Imigresen Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), hasil maklumat dan risikan selama dua bulan.
Penolong Pengarah Imigre­sen Kuala Lumpur (Ketua Bahagian Penguatkuasaan), James Musa Singa berkata, dokumen yang dikesan dipalsukan antaranya ialah pelekat pas lawatan (kerja sementara), laporan ujian pemeriksaan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) serta pelbagai surat rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menurutnya, hasil serbuan itu juga, pelbagai barangan yang digunakan sebagai peralatan memproses dokumen termasuk sebuah komputer serta mesin pencetak turut dirampas.
“Kita juga menjumpai 232 keping pasport tulen India serta pelbagai dokumen palsu lain termasuk nama syarikat-syarikat yang menggunakan khidmat sindiket tersebut.
“Kesemua dokumen yang dirampas juga itu akan disiasat dan mana-mana syarikat yang didapati terlibat menggunakan khidmat sindiket tersebut akan diburu dan dikenakan tindakan.
“Imigresen juga memburu dalang atau pemilik syarikat yang menawarkan khidmat pemalsuan berkenaan dikenali sebagai V. Muthu," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks KDN, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, modus operandi digunakan sindiket tersebut adalah dengan menyasarkan warga India yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum menawarkan pelekat pas lawatan (kerja sementara) palsu dengan bayaran RM300 menerusi ejen-ejennya.
“Kalau secara sah, syarikat perlu membayar sebanyak RM1,000," jelasnya.
Kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat majikan khususnya di sektor perladangan dan pertanian yang bersekongkol dengan sindiket itu untuk mendapatkan pekerja asing bagi menjimatkan kos serta tidak perlu membayar levi atau melalui pemeriksaan kesihatan.
“Kegiatan ini dipercayai mungkin mendapat permintaan tinggi daripada majikan yang pekerja mereka gagal melepasi pemeriksaan Fomema iaitu lebih 10,000 orang seperti dilaporkan baru-baru ini," jelasnya.
James Musa seterusnya memberitahu, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Sek­syen 15(1)(c) Akta imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen yang sah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140412/je_04/Jabatan-Imigresen-tumpaskan-sindiket-dokumen-palsu-warga-India#ixzz2ycFqWAq1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment