Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Isteri merintih, anak terbujur kaku


Kuala Terengganu: “Keadaan ketika itu kelam-kabut dan saya dengar suara isteri merintih kesakitan di tepi anak yang terbujur kaku. Saya cuba membantu tetapi langsung tidak berdaya,” kata Marzuki Che Othman, 27, yang sebak selepas kehilangan isteri dan anak tunggalnya yang terbabit dalam kemalangan ngeri di Kilometer 72, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang, malam kelmarin.

Sebelum kejadian jam 7.30 malam itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Pusat Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor bersama isterinya, Maziah Jusoh, 27, dan anak perempuannya, Nur Damia Hanan Marzuki, setahun, baru menghabiskan cuti seminggu di Kampung Durian Burung, di sini, sebelum bertolak semula ke Simpang Renggam, Johor untuk memulakan tugas. Bagaimanapun, sebaik tiba di Kuantan, kereta PERODUA Alza dipandu Marzuki hilang kawalan ketika memotong kenderaan lain sebelum bertembung sebuah lori Isuzu dari arah bertentangan.


Marzuki berkata, selepas terbabit dalam kemalangan itu, dia dalam keadaan separa sedar dan sempat melihat keadaan isterinya yang mengerang kesakitan dan anak yang sudah tidak bernyawa.

“Saya hanya mampu berdoa supaya mereka berdua selamat ketika itu sebelum kami bertiga dikeluarkan orang awam daripada kereta,” katanya yang ditemui di rumah keluarga mentuanya di Kampung Durian Burung, di sini, semalam.


Katanya, pada Jumaat lalu, dia dan arwah isteri yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kluang baru mengadakan sambutan ulang tahun pertama anaknya di Kampung Durian Burung.


“Selepas semua selesai, kami tiga beranak bertolak jam 3 petang semalam (kelmarin) kerana isteri sepatutnya memulakan tugas hari ini (semalam).

“Saya pelik melihat Nur Damia Hanan yang tidak berhenti memeluk ibunya sepanjang perjalanan itu, namun saya tidak bertanya kepada arwah isteri kerana memikirkan ia perkara biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

No comments:

Post a Comment