Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Ibu, bayi maut kemalangan


pengarang@utusan.com.my">
KUANTAN 6 April - Seorang ibu dan anak perempuannya berumur setahun maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori di Kilometer 72, Jalan Kuantan-Segamat, dekat Muadzam Shah, semalam.
Kejadian pukul 7.30 malam itu menyebabkan Nur Damia Hanan Marzuki, setahun, maut di tempat kejadian manakala ibunya, Maziah Jusoh, 27, meninggal dunia selepas menerima rawatan susulan di Hospital Muadzam Shah.
Pegawai Penguat Kuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Kontijen Pahang (IPK), Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, MPV jenis Perodua Alza yang dipandu suami mangsa, Marzuki Che Othman, 37, dalam perjalanan dari Simpang Renggam, Johor, menuju ke Terengganu untuk pulang bercuti hujung minggu.
"Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, Marzuki cuba memotong kereta di hadapannya namun gagal lalu bertembung dengan lori jenis Isuzu yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pertembungan itu, kenderaan mangsa remuk dan diseret kira-kira lima meter hingga mengorbankan anak tunggal mereka yang ketika kejadian berada di tempat duduk penumpang," katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian cuba mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit sebelum pegawai perubatan tiba beberapa minit kemudian dan mengesahkan Nur Damia Hanan sudah meninggal dunia.
Katanya, Maziah disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam sejurus mendapatkan rawatan susulan, manakala suaminya hanya mengalami kecederaan di pipi dan telinga.
"Marzuki yang bekerja sebagai anggota polis di Pusat Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor masih dirawat di hospital tersebut manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan serius," katanya.
Zainalabidin berkata, jenazah dua beranak itu akan dibawa ke kampung halaman Maziah di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu, Terengganu, untuk urusan pengebumian.
"Kita sudah mengambil maklumat daripada saksi dan pemandu lori berkaitan kejadian terbabit untuk tindakan lanjut. Kes ini akan disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140407/je_04/Ibu-bayi-maut-kemalangan#ixzz2yCSJ6Gu1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment