Search This Blog

Monday, April 7, 2014

Ibu, anak maut kereta rempuh lori

SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI
Ibu, anak maut kereta rempuh lori
Anggota Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Teluk Intan dibantu orang awam membersihkan kawasan kemalangan yang mengakibatkan dua beranak maut di KM 47 Jalan Teluk Intan- Sitiawan petang kelmarin.
7 April 2014
 TELUK INTAN - Perjalanan pulang tiga beranak ke Seri Manjung berakhir dengan tragedi apabila kereta mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 47 Jalan Teluk Intan- Sitiawan, lewat petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kejadian kira-kira jam 5 petang itu mengakibatkan dua mangsa, Nurzuraiyanie Habil, 30, dan seorang anaknya, Iman Nur Qurratunnisa Muhammad Syafie, 2, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, seorang lagi anak mangsa, Muhammad Iman Qashrin Muhammad Syafie, 5, bagaimanapun tidak cedera.

Kok Liang berkata, ketika kejadian, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga BLM  dari arah Teluk Intan menghala ke Sitiawan dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang cuba memotong kenderaan di hadapan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah Sitiawan ke Teluk Intan.

“Pemandu lori  berusia 37 tahun dari  Jalan Kampung Kelantan, Dulang Besar, Yan Kedah itu cuba mengelak namun tidak sempat disebabkan jarak terlalu dekat, mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Kok Liang berkata, akibat pelanggaran itu, kereta dipandu oleh mangsa berpusing dan terbakar manakala lori terbabas ke kiri jalan.

Katanya, kesemua mangsa yang berada di dalam kereta itu berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan orang awam namun dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, pemandu lori dan seorang anak mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan manakala kedua-dua jenazah turut dibawa ke hospital sama untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ketika kejadian hujan lebat selain lokasi kemalangan berlaku di di jalan lurus bertar serta lorong dua hala.

Menurutnya, pihaknya turut memaklumkan kepada keluarga mangsa dengan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung dan bedah siasat dijalankan malam semalam setelah waris hadir ke Hospital Teluk Intan.

“Bedah siasat dilakukan oleh Dr Nadir Khan mendapati, Nurzuraiyanie mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota manakala anaknya cedera parah di kepala selain melecur tahap ketiga.

“Pihak kami masih menyiasat kejadian tersebut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment