Search This Blog

Thursday, May 1, 2014

Guna ilmu hitam pukau mangsa

MUHAMMAD AFHAM RAMLI
Guna ilmu hitam pukau mangsa
Suami mangsa menunjukkan bagaimana anak mereka diikat oleh penjenayah tersebut.
30 April 2014
 SHAH ALAM – Geng samun dan pecah rumah di Taman Alam Budiman, Seksyen U10 dekat sini dipercayai menggunakan ilmu hitam bagi mengelakkan kegiatan mereka disedari penghuni rumah.

Difahamkan mangsa tidak sedar rumah dipecah masuk sehinggalah penjenayah berkenaan menegur atau mengejutkan mangsa daripada tidur.

Salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Rosiah, 50, berkata, dia menemui batu yang disusun pelik selepas rumahnya dipecah masuk baru-baru ini.

Menurutnya susunan batu pelik menyerupai bulatan dan ada batu kecil diletakkan di tengah ditemui di depan pintu pagar rumahnya.

"Rumah saya dipecah masuk kira-kira jam 2.30 pagi. Masa kejadian saya dan suami tidur di bilik utama, anak-anak tidur di bilik lain. Pintu bilik memang berkunci. Pencuri guna tong gas untuk pecahkan pintu bilik, tapi kami yang tidur langsung tidak sedar apa-apa," katanya.

Menurutnya, kumpulan tersebut yang terdiri daripada lima lelaki bertopeng itu masuk melalui pintu ruang tamu rumah.

"Mereka acu besi pemotong dan minta kami serah barang kemas dan wang tunai. Saya, suami dan tiga anak kena ikat dengan wayar dan mereka ugut jangan buat bising.

"Saya rugi hampir RM23,700 apabila barang kemas, enam telefon bimbit, 10 utas jam tangan dan wang tunai dilarikan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrul Hisham Shahbudin berkata, kejadian samun pecah rumah semakin menjadi-jadi di kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berkata, kes sebegini sudah berlaku sejak kawasan perumahan ini dibuka lima tahun lalu.

Namun katanya, penjenayah kini seolah-olah mencabar penduduk kerana berani melakukan aktiviti jenayah pada waktu siang.

“Ada juga kes mereka berpura-pura jadi pekerja penyelenggaraan masuk ke dalam rumah dan kemudian samun penghuninya.

“Antara puncanya ialah pondok kawalan pintu masuk utama langsung tidak beroperasi. Maknanya sesiapa sahaja bebas keluar masuk ke kawasan ini," katanya.

Dalam pada itu pihaknya menghargai usaha pihak polis dari Cahaya SPK dan Seksyen 9 yang turut membantu dalam rondaan komuniti bersama persatuan penduduk walaupun kekurangan anggota.

No comments:

Post a Comment