Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Ghaib bersama jentolak


Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
Kampar: Seorang pemandu jentolak dikhuatiri lemas apabila jentera yang digunakan untuk meratakan tanah berhampiran sebuah lombong dekat sini, terhumban ke dalam lombong sedalam lebih sembilan meter pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, mangsa Sri Isa Ngah, 34, dari Kampung Sungai Raia, Simpang Pulai, sedang meratakan tanah apabila tiba-tiba tebing tanah runtuh menyebabkan mangsa jatuh bersama-sama jentolak yang dipandunya ke dalam Lombong Tapak Projek Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Hitam Labu, di sini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar Mohamad Yamin Naib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.32 pagi sebelum jentera tiba tujuh minit kemudian di lokasi kejadian.


Menurutnya, 15 anggota dari BBP Kampar termasuk Unit Skuba dari BBP Ipoh terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat.



“Operasi mencari dan menyelamat mangsa pada mulanya tertumpu di permukaan air menggunakan dua bot aluminium yang mana satu daripadanya dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


“Keadaan cuaca sepanjang operasi mencari dan menyelamat adalah baik dan sedikit berangin. Sehingga jam 6.15 petang tadi (semalam), unit skuba sudah menyelam dan mencari mangsa di sekitar kawasan seluas 1.2 hektar di lombong yang mempunyai kedalaman kira-kira lebih sembilan meter itu,” katanya.


Beliau berkata, Unit Skuba menghentikan operasi menyelam dan operasi mencari hanya dijalankan di permukaan air bagi mengesan jika terdapat tompokan minyak dari jentera itu yang mungkin dapat membantu menjejaki mangsa.

“Bagaimanapun, operasi menyelam akan disambung pagi esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi semalam.


Mohamad Yamin berkata, mereka akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat serta menempatkan anggota di lokasi kejadian untuk mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, malah sehingga jam 7 malam mangsa masih belum ditemui.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, pihaknya turut menghantar sembilan anggota untuk memberikan bantuan dalam operasi berkenaan “Selain itu, seramai 17 anggota JPAM dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) turut terbabit dalam operasi itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/12

No comments:

Post a Comment