Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Gerak hati selamatkan nyawa

Gerak hati selamatkan nyawa
Anggota bomba sukarela Alor Pongsu bersama penduduk Kampung Parit Lebai Kadir bertungkus-lumus memotong pokok getah yang menghempap rumah Idris.
WARTAWAN SINAR HARIAN
12 April 2014
BAGAN SERAI - Gerak hati menyelamatkan enam beranak daripada maut setelah rumah didiami mereka ditimpa sebatang pokok getah yang tumbang dalam kejadian ribut di Kampung Parit Lebai Kadir, di sini malam kelmarin.

Pesawah, Idris Jelani, 39, berkata, ketika kejadian, dia, isteri dan dua anak serta dua adik yang sedang menonton televisyen dikejutkan dengan bunyi angin kencang dan dentuman petir.

Menurutnya, dia segera meninjau ke luar rumah setelah mendengar bunyi dahan pokok di luar patah.

“Menyedari angin bertiup terlalu kencang diselangi bunyi lebih banyak dahan pokok patah, gerak hati saya berasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku dan mengarahkan ahli keluarga lain kekal di ruang tamu.

“Selang beberapa saat selepas itu, tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat di bahagian dapur dan mendapati sebatang pokok getah berketinggian lebih 20 kaki menghempap bahagian dapur,” katanya yang menerima kunjungan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; Naib Ketua Umno bahagian Bagan Serai, Mohd Noor Dawoo dan kepimpinan sayap Umno bahagian.

Sementara itu di Pekan Selinsing, sebuah keluarga hanya mampu menyaksikan ribut kencang menerbangkan hampir keseluruhan bahagian bumbung rumah mereka dalam tempoh kira-kira dua minit.

Mangsa, Abdul Wahid Osman, 43, berkata, sebelum kejadian, dia sempat melaungkan azan di  hadapan rumah berikutan angin terlalu kencang diselangi hujan lebat.

Bagaimanapun katanya,  bumbung bahagian dapur dan bilik tidur rumahnya diterbangkan ribut.

“Akibat kejadian ini, saya kerugian hampir RM15,000 berikutan sebahagian besar barangan elektrik dan perabot rosak,” katanya.

Mengulas mengenai insiden tersebut, Sham berkata, pihaknya akan menguruskan permohonan kesemua mangsa ribut untuk mendapatkan bantuan kecemasan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pada sesi lawatan bersama Pemuda dan Wanita Umno bahagian, kami turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa terlibat.

No comments:

Post a Comment