Search This Blog

Sunday, April 13, 2014

Gempa kedua


Managua: Gempa baru 6.6 magnitud menggegarkan Nicaragua semalam, menyebabkan penduduk terpaksa sekali lagi bertempiaran lari ke jalan raya untuk menyelamatkan diri.

Ia berlaku kurang 24 jam selepas gempa 6.1 magnitud menggoncang negara Amerika Tengah itu.

Tidak ada laporan mengenai kerosakan besar mahupun kemalangan jiwa diterima selepas gempa berkenaan.

Pusat Kaji Geologi Amerika Syarikat berkata, gegaran juga dapat dirasakan di El Salvador dan negara jiran, Costa Rica.

Gempa baru itu yang berpusat 56 kilometer ke selatan Managua memeranjatkan orang ramai yang berada di restoran dan pasar raya.

Ia juga mengganggu perkhidmatan bekalan air di kebanyakan bandar sekitar ibu negara itu, tempat penduduk masih merasakan gegaran selepas gempa.

Sementara itu, tentera dan polis masih di tempatkan di kawasan berkenaan bagi menghalang kegiatan menjarah.

“Walaupun tidak ada kerosakan besar, namun banyak rumah yang perlu diroboh kerana rosak teruk,” kata jurucakap kerajaan yang juga wanita pertama Nicaragua, Rosario Murillo.

Terdahulu, kerajaan meningkatkan jumlah yang cedera akibat gempa pertama daripada 23 kepada 200.

Menurutnya, seorang wanita mati akibat sakit jantung yang dialami sejurus selepas gempa pertama Khamis lalu.

Meskipun magnitud gempa semalam tinggi, ia tidak mencetuskan kerosakan berleluasa kerana berlaku jauh di dalam bumi.

Di Managua, 300 rumah rosak dan sekurang-kurangnya 20 runtuh akibat gempa pertama.- AP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/13

No comments:

Post a Comment