Search This Blog

Saturday, April 26, 2014

Gambar 3 anak kapal diculik didedah


DARI KIRI:ARIYANDRI, sMOHAMAD ALFAN, FARIZAL
KUALA LUMPUR 25 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini mendedahkan nama serta gambar tiga anak kapal tangki Naniwa Maru 1 yang diculik penjenayah yang merompak kapal tersebut di perairan Pelabuhan Klang dekat Pulau Ketam, Klang Selasa lalu.
Siasatan awal yang dijalankan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga anak kapal warga Indonesia itu bersubahat dengan penjenayah yang menculik mereka.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya hari ini memberitahu, anak kapal yang terlibat ialah kapten kapal terbabit yang dikenali sebagai Farizal, ketua jurutera, Mohamad Alfan dan ketua pegawai kapal, Ariyandri AlHafshah.
"Diharapkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan anak kapal ini dapat menyampaikannya kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia Klang.
"Ini kerana ketiadaan kapten, ketua jurutera dan ketua pegawai kapal semasa kapal di laut boleh membahayakan keselamatan kapal lain," menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi Selasa lalu, sekumpulan lapan orang penjenayah yang menaiki bot telah menaiki Naniwa Maru 1 yang membawa 18 anak kapal dan muatan 5.3 juta liter minyak diesel.
Sejurus selepas mereka berjaya merampas kapal tangki itu, dua kapal lagi kemudian menghampiri kapal tersebut untuk menyedut minyak sebelum kesemuanya melarikan diri ke arah yang tidak diketahui bersama tiga juta liter minyak diesel bernilai RM8.2 juta minyak termasuk tiga anak kapal terbabit.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140426/je_04/Gambar-3-anak-kapal-diculik-didedah#ixzz2zwNlOwgu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment