Search This Blog

Saturday, April 5, 2014

Filipina kerah tentera ke Tawi-tawi untuk selamatkan tebusan China


MANILA - Askar-askar Filipina telah dikerahkan ke sebuah pulau terpencil di selatan negara itu di mana beberapa militan Islam dipercayai menahan dua tebusan wanita yang diculik dari sebuah resort di Malaysia, kata tentera semalam.
Jurucakap angkatan bersenjata Filipina, Leftenan Kolonel Ramon Zagala berkata, kumpulan militan Abu Sayyaf menjadi suspek utama kes penculikan seorang pelancong China dan pekerja resort warga Filipina pada Rabu lalu.
"Seramai tujuh lelaki bersenjata menaiki sebuah bot laju berwarna putih dipercayai telah menculik dua wanita di sebuah resort di negeri Sabah dan membawa mereka ke kepulauan Tawi-Tawi di selatan Filipina," kata Zagala.
"Apa yang penting adalah untuk kami mencari dan menghalang mereka daripada meninggalkan kepulauan itu," tambahnya.
Menurut jurucakap tersebut, satu pasukan tentera laut yang turut disertai askar-askar Marin telah dihantar ke sebuah pulau berkenaan.
Zagala berkata, dua tebusan berkenaan dipercayai dibawa ke bandar Simunul yang dihuni oleh kira-kira 35,000 orang dengan majoritinya orang Islam.
Bandar tersebut terletak lebih 1,000 kilometer (km) dari sini dan 145 km dari resort tempat mereka diculik atau menyamai perjalanan menaiki bot selama sehari.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti identiti dua tebusan itu sebagai Gao Huayuan, 29, dari Shanghai dan pekerja hotel berusia 40 tahun, Marcy Dayawan.
Menurut Zagala, kumpulan penculik itu dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang komander Abu Sayyaf, Murphy Ambang Ladjia yang pernah terlibat menculik seramai 21 tebusan dari Sabah pada tahun 2000.
Sejumlah 20 tebusan tersebut yang kebanyakannya pelancong asing telah dibebaskan dalam tempoh lima bulan selepas sejumlah wang tebusan dilaporkan dibayar.
Tebusan terakhir yang merupakan warga Filipina ditahan hingga tahun 2003.
Abu Sayyaf hanya memiliki beberapa ratus anggota bersenjata tetapi didakwa bertanggungjawab melakukan serangan-serangan keganasan terburuk dalam sejarah Filipina termasuk pengeboman dan penculikan warga asing dan orang Kristian.
Kumpulan itu ditubuhkan dalam tahun 1990-an dengan wang yang diberi oleh pengasas pergerakan Al-Qaeda, Osama bin Laden. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2xxjglTKs 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment