Suasana kebakaran di Bukit Besar yang dapat dilihat dengan jelas dari bawah pada waktu malam.
Suasana kebakaran di Bukit Besar yang dapat dilihat dengan jelas dari bawah pada waktu malam.
KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri masih mengenal pasti punca kebakaran membabitkan keluasan hampir tiga hektar bahagian tengah Bukit Besar yang menjadi salah satu lokasi tumpuan pengunjung ke Kuala Terengganu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamarul Bieza Mohd Kassim berkata, sehingga kini, punca kebakaran masih belum dikenal pasti dan pihaknya tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, pihak bomba telah berjaya mengawal kebakaran yang bermula sejak Khamis lalu malah operasi pemadaman dan pengawalan api bagi menghalang ia merebak diteruskan sehingga hari ini (semalam).

“Kebakaran berjaya dikawal sejak hari pertama lagi. Sekarang, kita menempatkan 20 anggota termasuk anggota sukarela dan empat buah jentera di situ secara bergilir untuk memastikan api tidak merebak ke kawasan lain,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba mengalami kesukaran memadamkan kebakaran itu disebabkan lokasi kebakaran berada di lereng bukit yang curam dan kekurangan bekalan air di kawasan tersebut.

“Pihak bomba masih lagi berkawal di lokasi kebakaran dan kita akan teruskan operasi sehingga ia benar-benar padam.

“Operasi masih diteruskan lagi kerana kita bimbang, walaupun api dilihat sudah padam, ia berkemungkinan boleh marak lebih-lebih lagi sekiranya cuaca kering dan masih terdapat sisa bara api pada pokok yang terbakar,” katanya.