Search This Blog

Saturday, April 12, 2014

Dua jam resah anak dilarikan

WARTAWAN SINAR HARIAN
Dua jam resah anak dilarikan
Mohamad (kanan) dan Norizan gembira apabila anak mereka ditemui selamat ditinggalkan dalam kereta di Kampung Bukit Guntung, Tepoh. 
12 April 2014
MARANG - Pasangan suami isteri menempuh detik mencemaskan apabila anak mereka yang ditinggalkan tidur dalam kereta dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Kepong di Pengadang Baru dekat sini, petang kelmarin.

Bagaimanapun, Mohamad Sapri Awang, 45, akhirnya menarik nafas lega selepas anaknya, Mohamad Hasmie, 7, berjaya ditemui dua jam kemudian.

Mohamad berkata, sebelum kejadian, dia dan isteri, Norizan Mohamad@Jusoh, 43, serta anak mereka dalam perjalanan mengutip wang hasil jualan ayam sebelum singgah memberhentikan kenderaan di hadapan kedai nasi ayam di Jalan Kepong di Pengadang Baru.

Menurutnya, dia dan isteri berhenti untuk ke kedai makan itu bagi mengambil wang hasil jualan ayam daripada peniaga kedai makan tersebut dengan meninggalkan anak mereka bersendirian yang tidur dalam kereta.

“Kami tiba di hadapan kedai itu lebih kurang jam 3.20 atau 3.30 petang. Saya dan isteri mahu ambil wang hasil jualan ayam berjumlah lebih kurang RM5,000 dan sempat pesan tiga bungkus nasi ayam ketika menunggu di dalam kedai makan.

“Belum sempat ambil wang dan bungkusan nasi ayam itu, secara tiba-tiba kereta saya dilarikan sebelum meluncur laju dan mula hilang dari pandangan,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual ayam segar di Bukit Tunggal.

Mohamad berkata, dia kemudiannya mengajak seorang rakannya mengekori Toyota Hilux miliknya yang dilarikan itu, namun usaha mereka gagal.

“Isteri saya ketika itu menaiki sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana menuju ke Balai Polis Chabang Tiga, Kuala Terengganu untuk membuat laporan, namun saya tak pasti sama ada dia buat laporan mengenainya atau sebaliknya,” katanya yang beralamat dari Kampung Tapu.

Katanya, dalam keadaan resah selepas gagal mengekori lelaki terbabit, dia segera menghubungi rakan-rakan di kawasan berdekatan agar menunggu di jalan utama untuk mengesan kenderaannya itu.

“Saya bimbang jika anak kami ditinggalkan di tempat terpencil, malah mungkin keadaan akan jadi lebih buruk lagi jika penjenayah terbabit bertindak ganas. Ketika itu saya hanya mampu berdoa dan terus berdoa agar anak bongsu saya selamat.

“Lebih kurang jam 5.30 petang saya dimaklumkan rakan bahawa kenderaan itu ditinggalkan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh dan apa yang paling menggembirakan ialah anak bongsu saya selamat dan tidak diapa-apakan penjenayah terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment